Tuesday, December 16, 2008

SUNGAI PETANI DULU DAN KINI

16 Disember 2008 - tercatat satu lagi sejarah dalam diari hidup penulis sebagai anggota perkhidmatan kerajaan. Setelah berkhidmat selama 25 tahun 4 bulan di Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Kedah penulis telah ditukarkan pula ke Jabatan Kerja Raya Kuala Muda/Sik bermula 16 Disember 2008.

Beberapa hari menjelang tarikh melapor diri di JKR Sungai Petani, seberapa ramai saudara mara, rakan dan kenalan dihubungi memohon bantuan mencari rumah sewa yang bersesuaian dengan kriteria hampir dengan sekolah dan pejabat. Selepas hari raya korban, penulis terus menghantar kereta keluar ke tanah besar melalui Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi dan pada keesokan harinya terus ke Kuala Kedah untuk mengambil kereta dan bertolak ke Sungai Petani dengan tujuan mencari rumah sewa.

Dalam perjalanan menghala ke Sungai Petani mengikut jalan Batas Paip-Yan-Singkir-Semeling, satu SMS diterima dari rakan memberitahu ada sebuah rumah kosong untuk disewa di Penghulu Him. Sampai sahaja di Sungai Petani terus bertemu rakan tersebut dan bersama beliau menuju ke rumah yang dimaksudkan. Setelah bertemu wakil tuan rumah dan meninjau kawasan sekitar dan dalam rumah dan setelah dimaklumkan berhampiran dengan masjid, sekolah rendah dan tempat kerja, maka tanpa berlengah lagi penulis pun bersetuju untuk menyewa rumah tersebut.

Bermulalah era baru penulis mula tinggal kembali di Sungai Petani setelah meninggalkannya pada tahun 1975 setelah bersekolah di sebuah sekolah berasrama yang mana salah seorang bekas guru penulis ialah Cikgu Danial 9M2DI. Satu perasaan gembira yang sukar digambarkan dan nostalgia penulis mengenangkan zaman persekolahan di tahun tujuh puluhan dulu di Sungai Petani. Masih segar dalam ingatan penulis di tapak medan selera berhampiran jam besar dahulunya adalah tapak pasar minggu yang beroperasi dari awal pagi Jumaat hingga tengah malam. Dan bangunan pejabat kerajaan 4 tingkat yang telah sedia ada pada tahun 1973 dulu. Tidak disangka sama sekali yang penulis akan melapr diri bertugas di bangunan 4 tingkat tersebut pada hari ini.

Pembangunan pesat di kawasan perbandaran Sungai Petani hampir menenggelamkan ingatan terhadap suasana di tahun 70an dulu. Dahulu kawasan berhampiran Masjid Sungai Petani, Jalan Pengkalan terdapat banyak kuarters kakitangan kerajaan. Sekarang ini semua itu tiada lagi, sudah dipenuhi dengan kedai dan komplek perniagaan. Jalan Pengkalan dulu akan tamat di Jeti Kastam, sekarang telah dibina jambatan menghubungkan Taman Intan. Yang masih tidak banyak perubahan ialah kawasan Kg. Penghulu Him, mungkin kerana kawasan rizab melayu.

Kawasan yang paling jauh dibangunkan di uatara Sungai Petani ialah IKM dan Sekolah Menengah Sains Kedah (sekarang SMK Sultan Mohamad Jiwa) Kawasan sekitar tempat tersebut adalah Ladang Getah Arumugam Pillai yang terkenal dengan keluasannya. Masih segar dalam ingatan penulis setiap pagi Jumaat semua murid diwajibkan berlari 'cross country' dan jalan ladang kawasan estet Arumugam Pillai menjadi salah satu laluan pilihan. Sekarang ini kawasan estet tersebut telah berubah menjadi Taman Ria dan Taman Ria Jaya.

Sesungguhnya kembali bermastautin di Sungai Petani mengembalikan nostalgia penulis di zaman persekolahan dahulu.

Sunday, December 14, 2008

SELAMAT TINGGAL PULAU LANGKAWI

Sekian lama menanti akhirnya penulis mendapat arahan bertukar ke Sungai Petani mulai 16/12/2008. Selama 6 tahun 8 bulan bertugas di Langkawi sempatlah berpuasa di bulan Ramadan dan berhari raya korban selama 7 kali. Rasanya tidak sabar lagi untuk kembali bertugas di tanah besar. Sememangnya banyak sekali kenangan sepanjang tinggal menetap di Langkawi lebih lebih tinggal di kawasan kuarters yang bersebelahan pejabat. Suatu perkara yang penulis rasakan iaitu ketenangan jiwa.

Wednesday, December 3, 2008

QSL CARD DARI YD6HOY MEDAN

02 DISEMBER 2008 Tercatat sebagai hari yang bersejarah buat penulis kerana menerima QSL Card pertama dari YD6HOY Pak Usman R. Lubis, Medan, Sumatera Utara. Kad yang diterima itu mengingatkan penulis tarikh 27 Oktober 2008 kerana berjaya mencapai pancar ulang Lokal Medan Utara 146.320 MHz. dari base station di Langkawi menggunakan antenna home brew pada ketinggian 40 kaki (12m) sahaja. Memang jarang sekali propagasi begitu baik sehingga boleh mencapai ke Medan dengan VHF. Kebetulan pula sememangnya penulis telah siapkan maklumat diri di dalam QRZ.COM untuk kemudahan rakan-rakan yang kontek perdana mengirim kad QSL.

Monday, November 17, 2008

KULIM OH KULIM

16 November 2008

Penulis telah pergi menjemput harmonik yang mengikuti Seminar Menjawab Soalan Biologi di MRSM PDRM Kulim. Semasa di Butterworh - Kulim Expressway (BKE) terdengar audio Pak Din Tasek 9W2MSD di repeater Bendera yang sedang dalam perjalanan balik ke base station beliau di Tasek. Lalu penulis cuba memanggil beliau, syukur beliau menjawab. Selama ini penulis tidak berkesempatan QSO dengan beliau, sekadar monitor saja perbualan beliau dengan rakan-rakan. Dengan kesempatan yang ada penulis terus menuju ke base station beliau yang terletak di Tasek tidak jauh dari Kulim. Dapatlah berjumpa dan bersalaman dengan Pak Din Tasek, gembira sekali rasanya. Walaupun tidak dapat berbual panjang kerana perlu menjemput harmonik dan tiga rakannya balik ke Langkawi.

Tidak di sangka sama sekali Kulim yang menjadi tempat penulis bertugas selama lebih kurang 14 tahun dari 1983 hingga 1997 kini telah banyak berubah. Masih segar dalam ingatan bagaimana wajah Kulim semasa penulis mula-mula bertugas di sana. Semasa di jalan dua lorong menuju ke Lunas tiba tiba ternampak sebuah MPV putih berantenna panjang dibelakangnya, bila diperhatikan betul betul callsign yang tertera di belakang MPV tersebut rupa-rupanya 9M2SO. Waah bukan main bergaya sekali Tuan Hj. Shafie dengan MPV nya.

Hajat dihati teringin juga nak berjumpa dengan rakan-rakan di Kulim tetapi apakan daya masa tidak mengizinkan kerana terpaksa bergegas pulang ke jeti untuk menaiki feri ke Langkawi.

ANGIN TIMUR KEMBALI BERTIUP

Musim cuti sekolah kembali lagi, sudah menjadi ulangan pada setiap hujung tahun cuti panjang sessi persekolahan akan bersamaan dengan musim angin timur bertiup. Angin sejuk yang bertiup kadang kala kencang dari arah matahari terbit akan berlarutan sehingga awal tahun hadapan. Terasa nyaman sekali bila angin sejuk bertiup masuk ke dalam rumah melalui jendela. Fenomena ini telah menjadi rutin tahunan, bagi Negeri Kedah dan Perlis kedatangan angin ini menandakan musim hujan bakal berakhir dan akan berganti dengan musim kering di mana tanah sawah akan menjadi kering kontang di bulan Januari hingga March dan kadang kala berlanjutan ke bulan April dan Mei.


Tuesday, October 28, 2008

PROPAGASI VHF YANG MEMBUKA

Jam 8.00 malam waktu Malaysia bersamaan jam 19.00 waktu Indonesia Barat (WIB) tanggal 27/10/2008, penulis cuba membuka pancar ulang lokal Medan Utara, Sumatera yang letaknya melebihi 300km dari Langkawi. Frekuansi pancarulang tersebut ialah 146.320MHz +600 yang penulis dapat dari 9W2JML Penyelia Sukan PPD Langkawi yang melawat Medan beberapa bulan lepas. Dari maklumat beliau pancar ulang tersebut dibangunkan oleh Pak Yusuf YB6HPG yang juga tuan punya toko peralatan radio terkemuka di Medan.

Syukur ada tindakbalas dari pancar ulang di seberang lautan sana. Sebelum ini ada juga dicuba tetapi jarang dapat membuka pancar ulang tersebut mungkin antenna yang tidak cukup tinggi atau propagasi yang kurang mendukung. Panggilan yang dibuat pada malam tadi tanpa disangka sangka di sambut oleh Pak Auli YC6PZB, kemudian disambung pula oleh Pak Suki YD6PLB, seterusnya disambung lagi oleh Pak Os YD6HOY dan terakhir Pak Zulamri YC6IEB yang juga pengawal rangkaian di malam tersebut. Audio dari pancar ulang Medan Utara yang diterima cukup baik sekali. Penulis menamatkan QSO bersama Pak Zulamri jam 8.55 malam kerana beliau akan menjalankan acara 2 meter net di pancar ulang tersebut pada jam 20.00 WIB. Tiga orang rakan ham dari Perlis juga turut menyertai net tersebut iaitu Nizam 9W2ANW, Che Mi 9W2CME dan Che An 9W2CAN Antenna yang digunakan untuk mencapai pancar ulang lokal Medan Utara, Sumatera.

Thursday, October 16, 2008

REPEATER GUNUNG RAYA LANGKAWI BERFUNGSI KEMBALI

Jam 8.00 malam 15/10/2008 tanpa mempedulikan hujan yang turun di Gunung Raya, Langkawi, saudara Sharudin 9W2CB bersama-sama Nasir 9W2CMN, Hizami 9W2MEI, Shauki 9W2SKI dan 9W2XJB telah bertungkus lumus memasang kembali peralatan repeater yang telah dibaikpulih. Peralatan repeater ASTRA Gunung Raya telah di bawa turun oleh 9W2CB dengan izin dari Bapa Presiden ASTRA 9M2RR untuk dibaiki beberapa minggu yang lalu. Alhamdulillah berkat kesabaran dan kemahiran yang ada pada saudara Sharudin, repeater telah kembali berfungsi seperti asal mulai jam 10.45 malam. Linking dengan Larut telah dibuka kembali membolehkan rakan-rakan di sekitar Langkawi, Alor Setar, Jitra dan Perlis menggunakan untuk memancar ke jalur panjang transnasional ASTRA meliputi seluruh semenanjung. Frekuansi pancarulang Gunung Raya Langkawi ialah 145.625MHz, -600 tone 103.5

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH DAN PENGHARGAAN TERIMA KASIH kepada krew2 yang berusaha membaikpulih repeater tersebut tanpa mengira penat lelah dan waktu. Hanya ALLAH sahajalah yang memelihara keselamatan rakan rakan yang naik ke puncak G. Raya dari segala kemungkinan.

Sunday, October 5, 2008

REPEATER BARU DI BUKIT PALONG, BALING

Terlebih dahulu penulis ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin. Jemu dengan keupayaan yang terhad HT semasa berhari raya di kampung halaman tambahan pula stesen pengulang di Jerai tidak berfungsi sepanjang perayaan, penulis pun cuba cubalah scan di frekuansi amatur. Sampai di 147.625 MHz kedengaran audio rakan rakan ham di lokalan Baling dan Sg. Petani sedang menguji stesen pengulang baru di Bukit Palong, Baling. Dari scan tone yang dibuat dapatlah tone pengulang tersebut iaitu 85.4 dan minus 600 hasil dari reverse ke atas rakan yang bermobil di Batu 17 Guar Chempedak. Sungguhpun penulis dapat monitor dengan jelas dari Langkawi sayang sekali tak dapat memancar ke pengulang tersebut. Tahniah kepada rakan rakan di Baling yang berjaya mendirikan stesen pengulang di Bukit Palong dengan prestasi yang memberansangkan.

Sunday, September 28, 2008

RAMADHAN KALI KE 7 DI LANGKAWI

Ramadhan tahun ini merupakan kali ke 7 penulis mengerjakan Rukun Islam ketiga di Pulau Langkawi ini. Masa berlalu dengan cepat sekali, sedar tak sedar anak kecil berumur 2 tahun 10 bulan yang dibawa dulu sekarang sudah berada di tahun 3, pokok kelapa dan betik yang ditanam sudah berbuah lebat, pokok nangka yang semasa berpindah masuk dulu sebesar ibu jari kaki telah silih berganti berbuah dengan lebatnya. Di sinilah juga penulis mengenali apa itu beronoh dan laktut. Sempatlah menjamu mata pameran LIMA percuma beberapa kali. Yang paling mengejutkan ialah kejadian TSUNAMI yang melanda pantai barat pulau Langkawi di penghujung tahun 2004. Sungguh pun tidak seteruk di Kuala Muda dan Pulau Pinang tetapi kesan kerosakan yang menimpa cukup besar. Semua apa dilalui oleh penulis selama hampir tujuh tahun di Pulau Langkawi akan kekal dalam lipatan memori.

Sempena hari raya yang menjelang tiba, penulis ucapkan selamat berpuasa di hujung Ramadhan dan selamat menyambut hari raya aidil fitri, maaf zahir batin di atas segala kesilapan kepada semua.

Thursday, September 18, 2008

KELAB RADIO AMATUR KOTA SETAR

Kelab Radio Amatur Kota Setar dengan keahlian setakat ini seramai 65 orang. telah menjalankan berbagai aktiviti. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah eyeball bulanan, kawad merdeka dan majlis berbuka puasa. Setiap aktiviti mendapat sambutan yang amat menggalakkan, tetapi sayang sekali penulis tidak dapat turut serta maklumlah berada di tanah pulau agak sukar untuk menghadirkan diri. Walaubagaimanapun mudah2an suatu masa nanti akan ada peluang untuk turut serta.

Kelab Radio Amatur Kota Setar juga bertanggung jawab ke atas operasi dan penyenggaraan stesen pancar ulang di puncak Gunung Keriang. Memandangkan kos penyenggaraan stesen pancar ulang yang agak tinggi, sumbangan dana amatlah diharapkan daripada rakan-rakan. Salah satu cara untuk menyumbang kepada kebajikan stesen pancar ulang Gunung Keriang ialah dengan menjadi ahli kelab dan membayar yuran tahunan. Kepada rakan rakan radio amatur yang ingin bersama sama menyumbang ke arah kelangsungan operasi stesen pancar ulang dan aktiviti kelab bolehlah memohon menjadi ahli. Bersama-samalah kita menyumbang ke arah mengeratkan hubungan melalui gelombang radio amatur.

Friday, September 12, 2008

TAHNIAH TAHNIAH TAHNIAH

Setinggi tinggi TAHNIAH kepada rakan rakan yang baru lulus RAE dan telah mendapat Penguntukan Radas (Apparatus Assignment) dengan isyarat panggilan (callsign) baru muncul di frekuansi pancar ulang transnasional, local mahupun simplek. Berikut adalah senarai 14 rakan yang telah mendapat callsign masing masing. Terima kasih dan tahniah juga kepada Penyelia Sukan PPD Langkawi Cikgu Mahtar 9W2JML yang bersusah payah berusaha menjadikan impian satu kenyataan.

1 GHAZALI B. MD.ISA 9W2OCL
2 NAGAIAH A/L VELU 9W2NGY
3 AZHAR B. BAHAROM 9W2APL
4 MUHD. SHUKKERI B. HJ. ROKHANI 9W2SPL
5 MOHD. FAISAL B. ABD. WAHAB 9W2CFL
6 ROSLAN BIN MUSTAFFA 9W2RTL
7 AIZAL AZRI B. ZAKARIA 9W2GTL
8 RONIZAM SAIRIZAL B. MD. SANI 9W2RPT
9 MOHD. ISHAM B. SAADON 9W2IPL
10 FAKRULRADZI B. MAHTAR 9W2TXC
11 DZAINOL B. LADZIM 9W2NOL
12 RODZIMAN B. OSMAN 9W2CML
13 RAZALI B. OSMAN 9W2LPL
14 JAMALUDDIN BIN AHMAD 9W2DMR

Ribuan terima kasih kepada Cikgu Aziz 9W2AZE selaku Pengurus ASTRA Negeri Kedah yang banyak berkorban dalam menguruskan permohonan Apparatus Assignment dan callsign rakan rakan baru kita. Terima kasih juga kepada Penyelia Sukan PPD Langkawi Cikgu Mahtar


Monday, August 25, 2008

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN RADIO AMATUR 1/2008

Genap dua bulan penantian yang mendebarkan, akhirnya MCMC mengumumkan keputusan peperiksaan radio amatur (RAE 1/2008) pada hari ini 25/8/2008. TAHNIAH kepada yang lulus dan jangan putus asa kepada yang gagal. Cuba lagi di bulan November nanti. Nampaknya kali ini ramai calon-calon dari Langkawi yang lulus terutamanya dari sektor perguruan.

1. Keputusan Peperiksaan Radio Amatur RAE 2008-1

2. Borang pemohonan Apparatus Assignment (AA)

3. Borang akuan sumpah menyimpan rahsia

4. Borang permohonan callsign radio amatur

5. Surat sokongan 9M2....

6. Garispanduan radio amatur MCMC

7. Semakan Callsign di pengkalan data MCMC

Thursday, August 21, 2008

KEJOHANAN PERAHU LAYAR OPTIMIST MSSM 2008

Sempena cuti sekolah pertengahan penggal kedua 2008 ini Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah telah diberi kepercayaan oleh Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengelolakan Kejohanan Perahu Layar Optimist MSSM 2008. Kejohanan yang berlangsung di perairan Kuah berhadapan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Pokok Asam, Kuah, Langkawi dari 16-21hb. Ogos 2008 telah disertai oleh 104 pelayar dari 13 negeri dan wilayah persekutuan kecuali Kelantan, Pahang dan Sarawak.Lima kategori dipertandingkan iaitu berpasukan, individu bawah 12 tahun (B-12) dan bawah 15 tahun (B-15) lelaki dan perempuan. Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Perahu Layar Optimist MSSM 2008 diikuti Perak meraih tempat kedua manakala Johor di tempat ketiga keseluruhan.

Tahniah kepada semua pelayar yang mengambil bahagian dan tahniah juga kepada semua petugas yang bertungkus lumus menjalankan tanggung jawab yang diamanahkan tanpa mengira panas atau hujan. Semoga dapat lagi kita berjumpa dilain kesempatan. Terima kasih juga kepada penganjur yang menjemput penulis untuk sama-sama menyumbang khidmat kepada kelancaran perjalanan kejohanan tersebut.

Gambar2 sepanjang kejohanan boleh dilawati di album Flickr

Thursday, July 24, 2008

9W2MDE DI LANGKAWI

Terkejut dengan panggilan telefon dari rakan ham ASMADI BIN SHUKOR 9W2MDE di Permatang Pauh yang memaklumkan untuk masuk ke Langkawi pada Isnin 21/7/2008 di atas urusan kerja. Penulis rasa teruja untuk menemui rakan yang selama ini hanya bersua di ruang udara radio amatur sahaja. Hanya dapat bertemu 'eyeball' pertama kali dengan beliau pada petang 23/7/2008 di kediaman penulis yang kemudian disertai oleh Cikgu Mahtar 9W2JML.
9W2MDE & 9W2JML berlatarbelakangkan G. Raya

Wednesday, July 23, 2008

2 METER NET @ G. KERIANG REPEATER

Senarai rakan rakan ham yang cek net di pancar ulang Gunung Keriang pada hari Isnin 21/7/2008 telah di muat naik ke dalam laman blog Kota Setar Amateur Radio Club. Acara 2 meter net di pancar ulang Gunung Keriang dijalankan setiap hari Isnin jam 9.30 malam. Terima kasih kepada semua rakan yang telah sudi cek net dengan penulis selaku pengawal rangkaian pada tarikh tersebut. Pengawal rangkaian yang dipilih oleh penulis untuk mengendalikan acara 2 meter net pada hari Isnin minggu hadapan 28/7/2008 ialah saudara Hafiz 9W2WTF.

SAYANGILAH ISYARAT PANGGILAN (CALLSIGN)

Perkembangan terkini dalam dunia radio amatur di Malaysia. Pihak berkuasa dalam hal ehwal radio amatur telah mula melaksanakan langkah tegas memadamkan Isyarat Panggilan (callsign) dalam pengkalan data bagi pemegang pemegang isyarat panggilan yang tidak memperbaharui Penguntukan Radas (Apparatus Assignment) dalam tempoh yang ditetapkan. Memang sesuatu yang sukar diterima, kerana kita sudah sinonim dengan callsign kita tiba tiba callsign kita di pakai oleh orang lain. Ibarat gila talak jadinya, tapi apa nak buat perkara sudah jadi. Mungkin sesuatu ikhtiar boleh dilakukan untuk mendapat kembali bekas callsign kita tetapi mungkin melalui jalan sukar. Semoga kita semua mengambil iktibar dari apa yang sudah berlaku.



Keratan dari Apparatus Assignment yang menerangkan tempoh memperbaharui AA.

Friday, July 18, 2008

REPEATER ASTRA @ GUNUNG RAYA LANGKAWI

15 Julai 2008 yang lalu adalah hari cuti umum bagi seluruh negeri Kedah Sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Pada petang tersebut rakan rakan ham Langkawi telah bergotong royong membuat kerja amal membersih kawasan sekitar tapak repeater ASTRA G. Raya yang terletak di luar pagar stesen pemancar Telekom Malaysia.



Monday, July 14, 2008

KEKELIRUAN SEBUTAN NOMBOR KEAHLIAN ASTRA

Ramai rakan-rakan ham radio mempersoalkan keperluan menyebut No. Keahlian ASTRA di pancar ulang ASTRA, ada yang menyokong dan ada yang membantah kerana tiada tersebut dalam garispanduan MCMC.

Sebutan no. keahlian ketika QSO telah dicadangkan oleh Tuan Noorahim 9W2OCD dan disokong dalam Mesyuarat Agung ASTRA kali ke 10 pada 14hb. April 2007 di Pasir Salak. Cadangan ini dibuat adalah untuk menambahkan keahlian bagi mereka-mereka yang belum menjadi ahli dan sering kali di udara menggunakan repeater ASTRA. Sebutan ini tidak dipaksa dan terpulang kepada ahli-ahli untuk menyebutkannya.

Cuma satu perkara yang penulis rasa pihak pengurusan tertinggi ASTRA perlu perhatikan ialah bukan semua yang bernombor keahlian itu membayar yuran tahunan. Ada juga yang membayar sekali semasa mendaftar masuk sebagai ahli biasa dan terus menggunakan nombor keahlian tanpa membayar yuran tahunan untuk tahun tahun berikutnya. Sepatutnya ahli biasa yang tidak membayar yuran tahunan di masukkan dalam senarai ahli yang tidak membayar yuran tahunan supaya semua orang tahu siapa yang bermegah sangat menyebut nombor keahlian tetapi yang sebenarnya tidak membayar yuran tahunan.

Nasihat :-

No. keahlian boleh disebut ketika bermula atau ketika berakhir QSO, dan tidak perlu disebut setiap kali 'over'. Sekiranya terdapat ahli yang tidak menyebut nombor keahlian, mana-mana pihak yang sedang QSO dilarang bertanyakan tentang nombor keahlian seseorang itu. Dengan ini saya rasa penerangan ini jelas dan tiada mempunyai keraguan dimasa akan datang.

Selamat QSO

Saturday, July 12, 2008

LANGKAWI BEACH RUN 2008

12 Julai 2008 - Langkawi Beach Run 2008 telah berlangsung dengan jayanya di Pantai Tengah dan Pantai Chenang, Pulau Langkawi. SETINGGI TINGGI TAHNIAH kepada Cikgu Mahtar 9W2JML selaku Pengurus Pertandingan serta pasukan bantuan komunikasi radio yang telah menjalankan tugas dengan jayanya.

Tidak sangka pula ada rakan dari Pulau Mutiara Fazil 9W2FZ datang berkunjung ke tapak pertandingan. Terasa puas hati dapat bersalaman dengan rakan yang selama ini kita berbual di udara saja.

Penulis (kanan) bersama 9W2FZ di Pantai Tengah, Langkawi

Sunday, May 18, 2008

JAMBOREE ON THE AIR (JOTA) KUALA SALA , KEDAH

SABTU 17hb. Mei 2008, semasa menunggu kerosakan kereta dibaiki di woksyop Pak Razak 9W2DEC penulis bernasib baik dapat bersalam perdana dengan Pak Zainol 9W2ZD dan Pak Jat Kole 9W2ZEV. Selesai kereta dibaiki bersama dengan Pak Razak dan Pak Zainol menuju ke Jamboree On The Air (JOTA) Pengakap Kedah yang diadakan di SRJK China Kuala Sala, Kedah. Pak Long Marzuki 9M2MZ bersama-sama rakan-rakan ham telah bertungkus lumus mendirikan stesyen radio amatur dengan callsign 9M1CSK membawa maksud 9M1- prefix callsign bagi Malaysia, C - Centum iaitu 100 tahun Pengakap Di Malaysia, S - Scouts/Pengakap dan K - Kedah

Stesyen-stesyen JOTA di Malaysia diadakan disetiap negeri dengan callsign masing-masing berdasarkan nombor plat kereta motor negeri berkenaan, misalnya 9M1CSD untuk Kelantan, 9M1CSA untuk Perak dan 9M1CSC untuk Pahang.

Frekuansi JOTA yang digunakan ialah:

JALUR SSB (Phone) CW9 (Morse Code)
80 meter 3.740 MHz 3.590MHz
40 meter 7.090 MHz 7.030 MHz
20 meter 14.290 MHz 14.070 MHz
17 meter 18.140 MHz 18.080 MHz
15 meter 21.360 MHz 21.140 MHz
12 meter 24.960 MHz 24.910 MHz
10 meter 28.390 MHz 28.180 MHz

Untuk jalur 2m, frekuansi tempatan yang boleh digunakan untuk saluran panggilan ialah 145.300 MHz dan link kebangsaan kepunyaan MARTS untuk komunikasi seluruh negara.

Pertemuan di jamboree pengakap itu juga meninggalkan kenangan manis kepada penulis kerana dapat bersalam perdana dengan rakan-rakan yang sebelum ini belum pernah bersua antaranya Cikgu Dot atau Abu Hassan 9W2DOT, Rasidi 9W2CDR, Zainudin Kg. Rambai 9W2ZMN.

Saturday, May 10, 2008

SALAM PERDANA 9W2DZE 9W2XRC 9W2DHL

Hari Khamis 8hb Mei 2008 penulis sempat bertemu dan bersalam perdana dengan 9W2DZE Cikgu Radzi dan 9W2XRC Cikgu Sirajudin yang datang bersama 9W2PLK Cikgu Zaidi menjadi pengadil pertandingan kawad yang diadakan di dataran kejat LADA.

Hari Sabtu 10hb. Mei 2008 pula dapat bertemu dan salam perdana dengan 9W2DHL Pak Hasbullah. Walaupun pertemuan cuma sekejap namun terasa puas hati kerana dapat bertemu mata dengan orang yang selama ini bertemu bual di udara saja.

Monday, May 5, 2008

9W2MUS - Dr. SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Pada 04hb. Mei 2008 angkasawan ulung negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri (SMK Mahsuri), Langkawi Geopark. Kedatangan angkasawan negara itu yang di atur oleh Majlis Tindakan Pelancongan Langkawi ke SMK Mahsuri adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan berkongsi pengalaman yang beliau lalui sepanjang misi menjadi angkasawan.

Di samping itu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor juga merasmikan pelancaran Kelab Radio Amatur SMK Mahsuri dan Kelab Radio Amatur Pendidikan Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi. Beliau sempat berkomunikasi dengan Pak Aziz Embi 9W2AZE di Kelab Radio Amatur SMK Dato' Syed Omar, Alor Setar menggunakan pancar ulang Gunong Raya, Langkawi.


Sunday, April 27, 2008

LANGKAWI - ADANG - SATUN INTERNATIONAL FISHING CHALLENGE

Langkawi-Adang-Satun International Fishing Challenge (LASIFC 2008) yang sedang berlangsung dari 24-27/4/2008 di perairan Pulau Adang, Wilayah Satun Selatan Thailand disertai oleh seramai 180 pemancing dari beberapa negara iaitu China, Hong Kong, India, the Philippines, Iran, Dubai, Singapore, Thailand dan Malaysia.

Pertandingan memancing yang dianjurkan bersama oleh Thailand dan Malaysia ini meliputi kawasan seluas lebih 900 batu nautika dari Langkawi, Malaysia ke Satun, Thailand. Keselamatan pemancing adalah menjadi keutamaan paling tinggi, sehubungan itu penganjur turut mendapat bantuan komunikasi dari Persatuan Radio Amatur Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA).

Sebuah local repeater baru 147.900 di puncak Gunung Raya menjadi nadi penghubung antara marshall komunikasi di laut dan marshall di daratan di Jeti Pakbara, Thailand. Di samping itu juga liputan secara langsung dari lokasi juga di pancarkan masuk ke stesen radio Langkawi FM 104.8MHz. dua kali sehari sepanjang pertandingan. Kedengaran audio dari rakan2 kita di negara seberang cukup jelas sekali, antaranya ialah Pak Zainal 9W2ZAJ (HS9ZAJ), Pak Wan Sahril 9W2XCO, Pak Fairus 9W2FRS, Che An 9W2CAN, Faizan 9W2FZN, Cikgu Zubir 9W2CZL, Pak Mei 9W2MEI dan Pak Nasir 9W2CMN. TAHNIAH kepada semua yang berusaha bersungguh-sungguh menjayakan bantuan komunikasi pertandingan memancing tersebut.

Saturday, April 26, 2008

SUNGAI PETANI LOCAL REPEATER

Terima kasih kepada Cikgu Abu Samah 9W2PKK diatas infomasi mengenai Sungai Petani Local Repeater yang baru digazetkan iaitu 9M4LGJ terletak di atas Gunung Jerai dan frekuansi 146.950Mhz -600 dan Tone 85.4

Tuesday, April 22, 2008

REGISTERS AMATEUR RADIO STATION

Senarai stesen radio amatur telah dikemaskini di laman web Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC)

http://www.skmm.gov.my/registers/cma/ApparatusAssignment/index.asp


Semakan 'callsign' terkini boleh dibuat dengan klik pada link di atas.


Monday, April 7, 2008

TERIMA KASIH RAKAN2 HAM ASTRA

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH dan jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan ahli radio amatur ASTRA yang telah berjemur panas bertungkus lumus selama tiga hari tiga malam menjayakan misi bantuan komunikasi kepada Malaysia Water Festival 2008 di Pantai Chenang, Langkawi Geopark.

Sungguh pun dapat bertemu eyeball dalam jangkamasa yang singkat dengan rakan-rakan sebelum mereka berangkat pulang, namun memberi kesan yang mendalam kepada penulis. Cerita dari Tuan Haji Shafiee 9M2SO mengenai sejarah silam ham radio di Malaysia hingga ke tertubuhnya Persatuan Radio Amatur Melayu Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA). Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang telah bersusah payah berusaha memecahkan monopoli dalam bidang radio amatur sehingga tertubuhnya ASTRA.

Friday, April 4, 2008

LANGKAWI WATER FESTIVAL 2008

Pesta Air Malaysia 2008 di Pantai Chenang, Langkawi anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Langkawi (MTPL) yang sedang berlangsung dari 4-6 April 2008 di Pantai Chenang dan sekitar perairan Pulau Langkawi. Seperti acara mengail ikan tenggiri dan sauk sotong yang lalu, pesta air ini juga mendapat kerjasama bantuan komunikasi radio dari Persatuan Radio Amatur Melayu Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA).

Penulis bersama Pak Wan Shahril 9W2XCO dari MTPL sempat menyambut ketibaan rombongan rakan-rakan ahli radio amatur di Jeti Kuah, Langkawi pada petang Rabu 2/4/2008. Mereka terdiri dari Tuan Haji Shafie 9M2SO, Pak Saidin 9W2ZT, Pak Zainal 9W2ZAJ, Pak Long Lah 9W2OP, Pak Cot 9W2PCS, Pak Bismi 9W2BMR dan Pak Amir Nizar Bashah 9W2ANB. Terima kasih banyak kepada Pak Cot yang bersusah payah membawa buah tangan untuk penulis. Rakan-rakan ham lain yang tiba kemudian ialah Pak Zul 9W2FLY, Tuan Norahim 9W2OCD dan Pak Zek 9W2ZEC.

Sekalung TAHNIAH dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan-rakan ahli radio amatur yang bersusah payah datang dan berpanas di tengah lautan menjalankan tugas bantuan komunikasi kepada acara-acara yang dipertandingkan.

Terima kasih juga kepada Repeater Gunung Raya yang telah berfungsi dengan amat cemerlang sekali. Terima kasih juga kepada Cikgu Mahtar 9W2JML yang bersusah payah berusaha membaiki dan menaikkan kembali tiang antenna yang patah serta bermurah hati membeli bateri baru untuk repeater G. Raya.

Sunday, March 30, 2008

G. KERIANG REPEATER TEAM




Satu ekspedisi mendaki dan membaik pulih repeater Gunung Keriang telah diadakan pada 15 Mac 2008 lalu oleh Biro Repeater dengan kerjasama rakan-rakan ham kawasan utara. Antaranya dari Perlis dan ada juga yang tidak bekesempatan sekadar hadir di kaki gunung memberi semangat. Sungguh pun kerja-kerja penyelenggaraan tidaklah mengambil masa yang lama, tetapi semangat kerjasama berkumpulan telah dapat meringankan kerja kerja yang berat. Tambahan pula semua komponen telah disiapkan dibawah cuma untuk proses pemasangan sahaja dan seterusnya dijalankan ujian. Penulis sekadar mampu membuat ujian pemancaran sahaja dari 'base station' dan memberikan 'signal report'. Gambar di atas adalah antara rakan yang hadir dikaki Gunung Keriang ( Mendaki dan tidak mendaki ). Foto diambil oleh 9W2ROK (Cikgu Lan Bukit Jenun). Terima kasih kepada Cikgu Rashdan yang memberikan keizinan kepada penulis memuat naik ke dalam laman blog ini.

Tuesday, March 25, 2008

9W2IMR - ISHAK MAT


SETINGGI TINGGI TAHNIAH kepada adinda Ishak bin Mat yang telah lulus dalam Peperiksaan Radio Amatur (RAE 2007-1) yang diduduki di Kota Kinabalu, Sabah (Index No. 1067) dan baru mendapat 'Callsign' 9W2IMR pada tengah hari 24.3.2008. Jutaan terima kasih kepada Naib Presiden 1 Persatuan Radio Amatur Melayu Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA) 9W2ZAJ Pak Zainal Abidin Jaafar yang bersusah payah naik turun pejabat MCMC Wilayah Utara Pulau Pinang untuk membantu menguruskan permohonan Apparatus Assignment adinda penulis itu.

Monday, March 24, 2008

BERTEMU DI UDARA SELEPAS 33 TAHUN

Jam 7.05 pagi Sabtu 22.3.2008 sedang penulis bersiap-siap untuk ke pasar, di frekuansi stesen pancar ulang G. Keriang kedengaran audio rakan ber 'callsign' 9W2ANB yang bermobil di lebuh raya Jitra - Alor Setar memanggil2 rakan untuk QSO. Dua tiga kali panggil tidak ada yang menjawab, penulis pun menyahut panggilan tersebut seperti biasalah salam kontek perdana untuk kali pertama QSO. Cerita punya cerita tidak disangka-sangka rupa-rupanya rakan baru di udara ini adalah rakan yang sama satu asrama di sekolah berasrama penuh di Sg. Petani dari tahun 1973 hingga 1975. Setelah hampir 33 tahun terpisah akhirnya penulis bertemu kembali dengan rakan lama di alam radio amatur pula. Inilah pertama kali penulis bertemu dengan rakan sama sekolah yang telah lama terpisah melalui udara melalui radio amatur. Pemegang callsign 9W2ANB ialah Amir Nizar Bashah base station di Bukit Indah, Bandar Darul Aman.

Thursday, March 6, 2008

Wednesday, February 27, 2008

PPD LANGKAWI MENGORAK LANGKAH KE DUNIA RADIO DUA HALA

Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi telah mengorak langkah ke dunia radio dua hala dengan mengadakan Kursus Pengendalian Dan Komunikasi Radio Dua Hala Untuk Guru-Guru Sukan Dan Kokurikulum Daerah Langkawi pada 24 dan 25 Februari 2008 lalu di Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi.

Kursus yang diuruskan oleh 9W2JML Cikgu Mahtar b. Hj. Desa selaku Penyelia Sukan PPD Langkawi telah dihadiri oleh seramai 22 orang guru-guru sukan dan kokurikulum sekolah-sekolah seluruh Langkawi. Penceramah jemputan yang telah hadir ialah 9M2PZ En. Abd.Manan dari Perlis, 9W2AZE Cikgu Aziz, 9W2CRM Cikgu Roslan dan 9W2USF En. Amir dari Alor Setar. Inilah pertama kali penulis dapat bertemu Pak Manan yang selama ini hanya dapat mendengar suara sahaja.

Adalah diharapkan semoga dalam RAE siri 1/2008 nanti akan bertambah ramai dari kalangan guru yang lulus dan mendapat sayap untuk sama sama memeriahkan ruang udara amatur.

Wednesday, February 20, 2008

GAMBAR SAUK SOTONG 2008

Terima kasih kepada adik Amira Sayati 9W2ASW yang menyumbangkan gambar-gambar untuk dimuatkan dalam laman ini. Gambar selebihnya dimuatkan dalam album PICASA.










Sunday, February 17, 2008

10 DARI 19 LULUS RAE

TAHNIAH!!!! kepada anda rakan rakan dari Pulau Langkawi yang mencatatkan keputusan yang amat membanggakan dalam RAE Siri 2/2007. Seramai 10 dari 19 calon yang menduduki RAE di UiTM Merbok tahun lalu telah lulus dan sedang dalam proses mendapatkan Penguntukan Radas dari MCMC yang sedang diuruskan oleh Cikgu Aziz 9W2AZE selaku Pegawai Penyelaras ASTRA Negeri Kedah

Tuesday, February 5, 2008

LANGKAWI SQUID CHALLENGE 2008




Jumaat 2/1/2008 jam 12.00 pm rombongan bantuan komunikasi radio amatur dari tanah besar tiba di jeti Kuah, Langkawi Geopark dengan membawa segala peralatan radio komunikasi amatur bersama mereka. Ahli radio amatur yang tiba ialah 9W2BCD, 9W2AZE, 9W2OP, 9W2ZT, 9W2DMG, 9W2IBS dan 9W2PCS. Sementara satu lagi rakan dari Pokok Sena Kedah iaitu 9W2RSH bersama keluarganya terlewat tiba sejam kemudian. Rombongan terus dibawa ke Jeti Pelancongan Kuala Chenang untuk memulakan kerja kerja pemasangan peralatan radio dan antenna serta ujian pemancaran.

Kerja2 pemasangan menjadi mudah dengan bantuan rakan rakan ham Langkawi termasuk yang baru lulus RAE baru-baru ini. Rasanya untuk masa mendatang di Pulau Langkawi perlulah siap sedia ada peralatan radio dan antenna, tidak perlu lagi di bawa dari tanah besar setiap kali diadakan aktiviti. Sayang sekali saya tidak dapat lama bersama rakan2 di pesta sauk sotong 2008 ini kerana terpaksa keluar ke tanah besar atas urusan keluarga.