Tuesday, December 16, 2008

SUNGAI PETANI DULU DAN KINI

16 Disember 2008 - tercatat satu lagi sejarah dalam diari hidup penulis sebagai anggota perkhidmatan kerajaan. Setelah berkhidmat selama 25 tahun 4 bulan di Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Kedah penulis telah ditukarkan pula ke Jabatan Kerja Raya Kuala Muda/Sik bermula 16 Disember 2008.

Beberapa hari menjelang tarikh melapor diri di JKR Sungai Petani, seberapa ramai saudara mara, rakan dan kenalan dihubungi memohon bantuan mencari rumah sewa yang bersesuaian dengan kriteria hampir dengan sekolah dan pejabat. Selepas hari raya korban, penulis terus menghantar kereta keluar ke tanah besar melalui Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi dan pada keesokan harinya terus ke Kuala Kedah untuk mengambil kereta dan bertolak ke Sungai Petani dengan tujuan mencari rumah sewa.

Dalam perjalanan menghala ke Sungai Petani mengikut jalan Batas Paip-Yan-Singkir-Semeling, satu SMS diterima dari rakan memberitahu ada sebuah rumah kosong untuk disewa di Penghulu Him. Sampai sahaja di Sungai Petani terus bertemu rakan tersebut dan bersama beliau menuju ke rumah yang dimaksudkan. Setelah bertemu wakil tuan rumah dan meninjau kawasan sekitar dan dalam rumah dan setelah dimaklumkan berhampiran dengan masjid, sekolah rendah dan tempat kerja, maka tanpa berlengah lagi penulis pun bersetuju untuk menyewa rumah tersebut.

Bermulalah era baru penulis mula tinggal kembali di Sungai Petani setelah meninggalkannya pada tahun 1975 setelah bersekolah di sebuah sekolah berasrama yang mana salah seorang bekas guru penulis ialah Cikgu Danial 9M2DI. Satu perasaan gembira yang sukar digambarkan dan nostalgia penulis mengenangkan zaman persekolahan di tahun tujuh puluhan dulu di Sungai Petani. Masih segar dalam ingatan penulis di tapak medan selera berhampiran jam besar dahulunya adalah tapak pasar minggu yang beroperasi dari awal pagi Jumaat hingga tengah malam. Dan bangunan pejabat kerajaan 4 tingkat yang telah sedia ada pada tahun 1973 dulu. Tidak disangka sama sekali yang penulis akan melapr diri bertugas di bangunan 4 tingkat tersebut pada hari ini.

Pembangunan pesat di kawasan perbandaran Sungai Petani hampir menenggelamkan ingatan terhadap suasana di tahun 70an dulu. Dahulu kawasan berhampiran Masjid Sungai Petani, Jalan Pengkalan terdapat banyak kuarters kakitangan kerajaan. Sekarang ini semua itu tiada lagi, sudah dipenuhi dengan kedai dan komplek perniagaan. Jalan Pengkalan dulu akan tamat di Jeti Kastam, sekarang telah dibina jambatan menghubungkan Taman Intan. Yang masih tidak banyak perubahan ialah kawasan Kg. Penghulu Him, mungkin kerana kawasan rizab melayu.

Kawasan yang paling jauh dibangunkan di uatara Sungai Petani ialah IKM dan Sekolah Menengah Sains Kedah (sekarang SMK Sultan Mohamad Jiwa) Kawasan sekitar tempat tersebut adalah Ladang Getah Arumugam Pillai yang terkenal dengan keluasannya. Masih segar dalam ingatan penulis setiap pagi Jumaat semua murid diwajibkan berlari 'cross country' dan jalan ladang kawasan estet Arumugam Pillai menjadi salah satu laluan pilihan. Sekarang ini kawasan estet tersebut telah berubah menjadi Taman Ria dan Taman Ria Jaya.

Sesungguhnya kembali bermastautin di Sungai Petani mengembalikan nostalgia penulis di zaman persekolahan dahulu.

Sunday, December 14, 2008

SELAMAT TINGGAL PULAU LANGKAWI

Sekian lama menanti akhirnya penulis mendapat arahan bertukar ke Sungai Petani mulai 16/12/2008. Selama 6 tahun 8 bulan bertugas di Langkawi sempatlah berpuasa di bulan Ramadan dan berhari raya korban selama 7 kali. Rasanya tidak sabar lagi untuk kembali bertugas di tanah besar. Sememangnya banyak sekali kenangan sepanjang tinggal menetap di Langkawi lebih lebih tinggal di kawasan kuarters yang bersebelahan pejabat. Suatu perkara yang penulis rasakan iaitu ketenangan jiwa.

Wednesday, December 3, 2008

QSL CARD DARI YD6HOY MEDAN

02 DISEMBER 2008 Tercatat sebagai hari yang bersejarah buat penulis kerana menerima QSL Card pertama dari YD6HOY Pak Usman R. Lubis, Medan, Sumatera Utara. Kad yang diterima itu mengingatkan penulis tarikh 27 Oktober 2008 kerana berjaya mencapai pancar ulang Lokal Medan Utara 146.320 MHz. dari base station di Langkawi menggunakan antenna home brew pada ketinggian 40 kaki (12m) sahaja. Memang jarang sekali propagasi begitu baik sehingga boleh mencapai ke Medan dengan VHF. Kebetulan pula sememangnya penulis telah siapkan maklumat diri di dalam QRZ.COM untuk kemudahan rakan-rakan yang kontek perdana mengirim kad QSL.