Wednesday, October 7, 2009

UJIAN KOD MORSE 2009-2

Terlebih dahulu penulis mengucapkan TAHNIAH kepada semua rakan ham radio yang memberanikan diri menduduki ujian kod morse siri ke 2 tahun 2009 yang diadakan pada 07 Oktober 2009 yang diadakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya, Selangor.

TAHNIAH juga kepada calon tunggal dari Kedah iaitu Cikgu Rashdan 9W2RSH. Penulis teramat yakin Cikgu Rashdan akan berjaya lulus ujian tersebut kerana dari pemerhatian penulis semasa sama-sama menghadiri kelas CW di Sungai Petani di bawah bimbingan abang Ramli, bekas jurulatih CW tentera, cikgu Rashdan menunjukkan potensi yang amat baik. Walau apa pun sama sama kita tunggu keputusan yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Tuesday, September 8, 2009

MENARA JAM BESAR WARISAN SUNGAI PETANI

Sejak pertama kali menjejakkan kaki di bandar Sungai Petani pada tahun 1973 untuk mendaftar masuk ke sekolah berasrama, pandangan yang masih kekal hingga ke hari ini ialah menara jam besar yang berdiri megah di tengah laluan utara selatan. Selama ini tidak pernah terlintas untuk memerhati dari dekat menara jam besar tersebut. Pada suatu hari cuti di bulan puasa sambil meninjau jualan mejelang hari raya penulis mengambil kesempatan meninjau dari dekat binaan tersebut. Rupa-rupanya menara jam besar ini telah berdiri di situ sejak tahun 1936 lagi dihadiahkan oleh Taukeh Lim Lean Teng, lebih kurang 73 tahun lalu berdasarkan batu asas yang tertulis tarikh bersejarah tersebut.

Wednesday, August 12, 2009

RAE 2009-1 TELAH DIUMUMKAN

Keputusan peperiksaan radio amatur siri 1 tahun 2009 (RAE 2009-1) telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Tahniah kepada semua yang lulus dan jangan putus asa dan cuba lagi kepada yang gagal. Ikuti link ini untuk melihat Keputusan RAE 2009-1

Tuesday, June 9, 2009

BEGITU CEPAT MASA BERLALU

Agak lama juga penulis tidak menulis, bukan kerana kekeringan idea tetapi keadaan yang tidak mengizinkan. Baru baru ini dua rakan ham di utara tanah air iaitu 9W2YEH dan 9W2LLK telah mendapat kenaikan pangkat ke 9M2. Kejayaan mereka berdua amat dibanggakan dan mendorong Pengurus ASTRA Negeri Kedah 9W2CRE berusaha mewujudkan kelas mempelajari Morse Code atau CW. Berkat usaha beliau dan bantuan Cikgu Shabri 9W2OCA kelas CW telah berjaya dijalankan bermula pertengahan Mei lalu dengan bergurukan Lt. Cdr (B) Ramly Abdullah (Abang Ramli) yang cukup berpengalaman dalam CW. Rupa-rupanya amat susah untuk set otak kita menterjemah nada bunyi kepada abjad. Walaubagaimanapun seperti kata rakan rakan yang baru lulus ujian CW, usaha bersunguh sungguh tanpa jemu saja yang akan menghasilkan kejayaan. Mudah mudahan usaha yang dijalankan membuahkan hasil suatu hari nanti.

Berbagai kemudahan pembelajaran CW boleh dimuat turun dari internet. Ada juga kemudahan untuk kita 'convert' abjad ke CW dan convert pula ke MP3 dan boleh diguna dengar melalui sistem audio komputer, telefon bimbit dan radio kereta. Disertakan link yang mungkin boleh memberi manfaat kepada yang berminat.

1. Text to MP3 Converter

2. G4FON dan CW Player

Penulis amat teruja bila guru CW Abang Ramli memainkan semula rakaman SOS dari kapal persiaran PRINSENDAM yang terbakar di Teluk Alaska pada tahun 1980 hingga menyebabkan bekalan kuasa kepada sistem komunikasi radio terputus. Pagawai radio kapal Prinsendam telah menghantar isyarat Morse di frekuansi kecemasan 500 KHz. menggunakan kuasa bateri saja. Maklumat lanjut dan fail MP3 rakaman audio penghantaran SOS boleh di muat turun dari link PRINSENDAM di atas.

Transkrip penghantaran SOS itu bermaksud.......SOS SOS SOS DE PJTA PJTA PJTA BT PASINGI - PASSENGERSHIP PRINSENDAM/PJTA POSITION 57.38W - 57.38N 140.25WEST FIRE IN THE ENGINE ROOM FLOODED ENGINE ROOM WITH CARBON DIOXIDE CONDITION UNKNOWN PASSENGERS 320 CREW 190 BT MASTER AR....begitulah apa yang diterjemahkan oleh guru.

Sunday, May 10, 2009

9W2KLM PAK CIK SONE KULIM KEMBALI KE RAHMATULLAH

Lepas solat Jumaat jam 3.26 petang penulis menerima sms yang mengejutkan dari Cikgu Sirajudin, Kulim 9W2XRC memaklumkan rakan ham lokalan Kulim 9W2KLM yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Cik Sone telah dimasukkan ke wad ICU Hospital Kulim kerana telah pengsan. Terkejut juga mendapat berita itu kerana baru minggu lepas memantau di pengulang Palong kedengaran berita Pak Cik Sone dan rakan rakan masuk memancing di Ulu Muda.

Hari Sabtu 9.5.2008 penulis telah ke Perlis untuk mengambil barang2 kegunaan anakanda yang akan bercuti panjang selepas habis periksa, dan mengambil peluang mengunjungi bebarapa destinasi pelancongan di negeri paling utara itu. Semasa singgah bertemu eyeball dengan rakan ham Beseri 9W2KRE di tempat bertugas beliau, Pak Kre memalumkan bahawa Pak Cik Sone telah kembali ke rahmatullah.
Takziah kepada keluarga Allahyarham Pak Cik Sone semoga tabah menghadapi ketentuan Illahi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama roh orang orang yang beriman....Al Fatihah.

Monday, April 20, 2009

9W2KPA MENGHARUMKAN NAMA NEGARA

SETINGGI TINGGI TAHNIAH kepada rakan ham dari Kedah iaitu 9W2KPA MOHD KHAIRUL EFFENDI BIN CHE WAN yang kini sedang berada di Helsinki, Finland selama 3 minggu kerana menghadiri Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu, Finland. Walaupun masih berusia muda namun amat bertuah sekali telah terpilih untuk mewakili negara. Semoga Khairul selamat kembali ke Malaysia sedikit masa lagi. Di bawah adalah petikan berita yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 20.04.2009

Angkasawan ucap tahniah pada peserta negara

HELSINKI (Finland) 19 April - Peserta negara yang memenangi tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu di sini hari ini, menerima kunjungan angkasawan terakhir ke bulan, Harrison Hagan Schmitt.

Harrison, 74, yang pernah ke bulan dengan pesawat Apollo 17 pada tahun 1972 bertemu dengan peserta negara selepas menyampaikan ceramah mengenai pengalaman beliau di angkasa pada festival tersebut.

Ahli geologi dari Pasadenia itu turut mengucapkan tahniah kepada Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Som Jud a/l Muniany, 16 dan Muhammad Fazrel Ashraf Azizzan, 15, sambil berbual dengan mereka.

"Bagus saya harap anda semua teruskan aktiviti ini," katanya ringkas.

Harrison turut melawat gerai Malaysia kira-kira 10 minit dan sempat melihat dari dekat mengenai latar belakang Malaysia.

Angkasawan itu yang menyertai NASA pada tahun 1965 mengambil masa kira-kira 300 jam untuk sampai ke bulan.

Sementara itu, Mohd. Khairul Effendi gembira dengan kunjungan angkasawan itu yang sudi bertemu mereka walaupun dalam tempoh yang singkat.

Semasa menyampaikan ceramah Harrison berkata, kecenderungan banyak negara menyertai festival seperti itu patut diteruskan terutama melibatkan generasi muda.

"Beri peluang kepada generasi muda dengan lebih giat terhadap aktiviti sains," ujarnya.

Khamis lalu, tiga peserta negara memenangi tiga pingat emas pada festival tersebut selepas kertas kerja bertajuk Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air berjaya menarik perhatian penganjur dan juri. - UTUSAN


Kuih tradisional tambat hati pengunjung di Finland

HELSINKI (Finland) 19 April - Baulu, kuih siput dan muruku adalah antara makanan tradisional Malaysia yang berjaya menambat hati para pengunjung Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu di sini hari ini.

Selain kedua-dua makanan popular itu, turut ditonjolkan ialah teh tarik yang mendapat perhatian pengunjung dalam usaha mempromosikan makanan tradisional melalui festival peringkat antarabangsa seperti itu.

Promosi makanan tradisi itu diperkenalkan oleh tiga pelajar Malaysia dan tiga guru pengiring mereka yang baru selesai menyertai festival tersebut yang menyaksikan wakil negara itu turut menggondol tiga pingat emas.

Tiga pelajar terlibat ialah Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Som Jud a/l Muniandy, 16, dan Muhammad Fazrel Ashraf Azizan, 15, manakala tiga guru pengiring ialah S. Kalaimani, M. Ramesh dan Roslee Abd. Hamid.

Kalaimani ketika ditemui berkata, usaha promosi itu dilakukan bagi membolehkan peserta yang kebanyakannya dari negara Eropah, Afrika dan Timur Tengah dapat merasai kuih tradisional Malaysia.

Festival yang berlangsung sejak 12 April lalu dan berakhir semalam itu disertai 80 buah negara yang mengambil bahagian dalam pelbagai kategori sains, teknologi dan alam sekitar.

Ia dianjurkan badan antarabangsa Environment Online (ENO) di Areena Joensuu.

Menurut Kalaimani, pihaknya membuat persediaan lebih awal dengan membawa sendiri kuih tersebut semata-mata mahu memperkenalkan produk tradisional itu bagi menonjolkan identiti Malaysia di mata dunia.

"Kami bukan sahaja mahu menang dalam festival ini malah mahu memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi untuk dikunjungi sekali gus menikmati makanan tradisional," katanya gembira. - UTUSAN


SEKADAR RENUNGAN

Peringatan Sultan Azlan


Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika menyampaikan titah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-81 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. – BERNAMA


KUALA KANGSAR 19 April – Tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam.’

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Titah baginda, seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

“Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat di raja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada hemat baginda, rakyat negara ini terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Tegas baginda, dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.

Justeru titah Sultan Perak, para pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Baginda mengakui hakikat sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara sememangnya berlaku kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir di negara ini.

Jelas Sultan Azlan Shah, baginda sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.

“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

“Barang dijauhkan Allah, bangsa menghadapi nasib malang ‘menang sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,” titah baginda.

Sultan Azlan turut mahu tafsiran bahawa raja berperlembagaan adalah raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa diperbetulkan segera.

“Raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

“Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan dan teguran,” titah baginda.

Tegas baginda, peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan.

Raja pemerintah, titah baginda, mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara agar sentiasa dilindungi.

Justeru, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kata Sultan Azlan Shah, raja-raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum- kaum lain.

Monday, March 23, 2009

LANGKAWI DAN LABUAN DALAM KENANGAN

Lebih 6 tahun dulu penulis diarahkan berhijrah dari Alor Setar untuk bertugas di Pulau Langkawi manakala adinda Ishak 9W2IMR diarahkan berhijrah dari Subang untuk bertugas di Pulau Labuan. Sungguhpun jarak kedua dua pulau tersebut mengikut Google Earth 1,709 km namun jarak yang jauh terasa didekatkan dengan kemudahan internet yang tersedia. Dengan kemudahan Skype, Yahoo Messenger dan lain lain yang percuma terasa bagai duduk bersebelahan saja. Bergayutlah di USB phone atau microfon seberapa lama yang larat siap dengan gambar webcam lagi.


Masa berlalu begitu cepat sekali, penulis di Langkawi selama 6 tahun 8 bulan terasa seperti baru saja. Sampai masa diarahkan pula berangkat pulang ke Sungai Petani di tanah besar, begitu juga adinda Ishak di Labuan yang dua bulan awal telah berangkat pulang ke Subang semula. Sempena cuti sekolah selama seminggu baru baru ini sempatlah keluarga penulis dan keluarga adinda Ishak bertemu eyeball di Sungai Petani dan di rumah ibu mertuanya di Kg. Telok Tenggiri, Padang Sera.


Mengambil peluang dan kesempatan yang ada penulis telah memohon bantuan bang Amir 9W2USF untuk memasang set radio dan kelengkapan antenna pada Toyota Unser 9W2IMR. Penulis dan adinda Ishak mengucapkan berbanyak banyak terima kasih kepada bang Amir yang pulon sungguh membuat pemasangan dan setting hingga waktu senja. Hanya Allah saja yang dapat membalas segala kebaikan bang Amir.

Sunday, March 22, 2009

TAKZIAH BUAT PAK LONG MARZUKI 9M2MZ

Jam 1.30 pagi Jumaat penulis menerima SMS dari 9W2BCD Bang Rodzi Batu Menunggul Pendang memaklumkan kepulangan ke rahmatullah anakanda lelaki Pak Long Marzuki Jeniang 9M2MZ di hospital Alor Setar lebih kurang jam 12.00 tengah malam. TAKZIAH kepada Pak Long Marzuki semoga Pak Long Marzuki banyak bersabar menghadapi dugaan tersebut.

Selepas Subuh seperti biasa hari cuti terus ke setor belakang untuk buka radio. Di lokal Jerai 146.950 kedengaran audio Cikgu Shabri 9W2OCA memanggil manggil rakan, apa lagi loncat masuk selalu. Lalu di infokan berita sedih tersebut kepada beliau. Tak lama kemudian kedengaran pula audio Cikgu Mahtar 9W2JML yang bermobil di jalan Batas Paip menghala ke Sg. Petani untuk urusan keluarga, sempat juga QSO dengan beliau beberapa over. Lebih kurang jam 9.30 penulis pun bergerak dengan Kancil menuju ke Jeniang untuk berkunjung menziarahi allahyarham anakanda Pak Long Marzuki. Setiba di Taman Jubli Perak Cikgu Mahtar telefon memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan jam 11.30 pagi dan mengajak naik kereta beliau untuk ke Jeniang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, terus simpan Kancil di tempat letak kereta pejabat JKR dan menumpang kereta Cikgu Mahtar ke Jeniang melalui jalan Tmn Ria Jaya - Ambangan Height - Bukit Selambau - Jeniang. Seperti biasa Cikgu Mahtar sambil mobile sambil QSO di repeater lokal Jerai dengan Ustaz Fauzan 9W6MAZ yang sedang portable di warung kopi tepi jalan di Ambangan Height menunggu Krie 9W2CRE. Kerana mengejar masa kami pun tidak singgah eyeball dengan Ustaz Fauzan di warong tersebut kerana perlu kembali untuk menyelesaikan lain lain urusan lagi. Tiba dilaluan Sungkap Para Estate dengan hutan kelapa sawit di kiri dan kanan, tiba tiba terasa semacam ada sesuatu menyucuk tayar dan berbunyi agak kuat, rupa rupanya sebatang bolt besar sepanjang 5 inci telah menembusi dan memancitkan tayar belakang sebelah kiri kereta. Berita tersebut disampaikan kepada Ustaz Fauzan untuk minta bantuan kerana tayar simpanan yang ada kempis, maklumlah kereta disimpan di Kuala Kedah tak berkesempatan nak cek semua. Tidak lama kemudian kelihatan rakan ham Pak Lah 9W2DOZ, Pak Alias 9W2LYS dan Zul 9W2UCC tiba memberikan bantuan. Kemudian tiba pula Ustaz Fauzan bersama Krie 9W2CRE dan seorang lagi rakan membawa tayar simpanan beliau untuk menggantikan tayar yang pancit. Nasib baiklah ada rakan ham berdekatan untuk minta bantuan, kalau tidak tak tau lah apa jadi. Selepas seketika di tanah perkuburan Masjid Jeniang, kami pun pulang untuk menukar tayar baru kerana tayar yang terkena bolt tak boleh digunakan lagi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan ham yang menghulurkan bantuan.

Wednesday, March 18, 2009

BERSALAM DI DARATAN DENGAN SAHABAT BARU

Sempena cuti sekolah ini penulis mengambil kesempatan menyelesaikan bebarapa urusan yang tertangguh di kampung halaman dan di Pulau Langkawi. Syukur Alhamdulillah semua urusan berjaya diselesaikan dengan lancar walaupun terdapat sedikit rintangan. Dalam kesempatan yang ada sepanjang 2 hari bercuti penulis bernasib baik dapat bertemu eyeball dengan beberapa orang sahabat baru yang akan menambahkan lagi bilangan sahabat sesuai dengan slogan "ERAT DI UDARA AKRAB DI DARAT" oleh rakan-rakan ham di Palembang, Indonesia. Antara sahabat baru yang penulis bersalam kontek perdana di daratan pada 16 dan 17/3/2009 ialah Kasturi 9W2KMF, Kapten Shaharil @ Pak Koyan 9W2COY dan Pak Suhaimi 9W2IKU.

Kebetulan sudah melalui bandaraya Alor Setar, penulis menghubungi Kasturi 9W2KMF di Jalan Telok Wan Jah untuk bertemu buat pertama kali di daratan. Terasa puas hati dapat bertukar tukar fikiran dengan Kasturi sambil minum petang di perkarangan kompleks Peruda. Selepas eyeball dengan Kasturi penulis meneruskan perjalanan ke Kepala Batas sambil memanggil Bang Amir 9W2USF di pengulang Keriang untuk temujanji. Tidak disangka sama sekali sambil menjamu selera di medan selera Kepala Batas, kelihatan sebuah Wira hitam berantena tinggi baru masuk ke parking. Rupa rupanya Pak Koyan 9W2COY yang kebetulan datang membeli makanan di medan selera tersebut. Walaupun pertemuan yang singkat namun amat bermakna sekali. Keesokan pagi dalam perjalanan ke Kuala Kedah untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi sekali lagi sempat bertemu eyeball dengan Pak Koyan bersama seoarang lagi sahabat baru yang bertugas setempat dengan Pak Koyan iaitu Pak Suhaimi 9W2IKU di Kepala Batas. Tetapi sayang sekali penulis tidak membawa kamera untuk merakam wajah sahabat2 baru ini untuk dimuatkan dalam album online. Semoga persahabatan ini berterusan dan berkembang lagi di masa hadapan.

Sunday, March 1, 2009

CALLSIGN BARU DI SUNGAI PETANI

28/2/2009 Jam 9.00 malam di rumah kelab ham radio Sg. Petani telah diadakan majlis jamuan kesyukuran oleh rakan-rakan radio amatur yang baru mendapat "Apparatus Assignment" dan isyarat panggilan (callsign) masing-masing di susuli dengan perbincangan mengenai aktiviti ham radio di kawasan Sg. Petani. Gembira dapat bertemu rakan-rakan baru dan lama, rakan rakan baru yang selama ini bertemu di udara sahaja. TAHNIAH kepada rakan-rakan yang baru mendapat sayap semoga semakin lama terbang semakin bertambah ramai sahabat. Biar ramai sahabat jangan ramai musuh kerana hobi bermain radio amatur bertujuan ke arah kebaikan.
Antara callsign baru di kawasan Sungai Petani ialah :-

9W2XAN - Amizan
9W2LDZ - Lan
9W2SRH - Wan
9W2UCC - Zul
9W2MBI - Lutfi
9W2ISP - Mat
9W2KNA XYL kepada 9W2IKA

Tuesday, February 3, 2009

JAUH PERJALANAN LUAS PANDANGAN

02 Februari 2009 Penulis bersama rakan setugas ke Batu 5, Sik untuk memeriksa kerja kerja pembinaan bangunan tambahan SK Batu 5 Sik. Sudah lama penulis tidak bergerak jauh untuk memeriksa projek maklumlah semasa di Langkawi dulu paling paling jauh pun setakat Padang Matsirat atau Ewa saja yang jaraknya antara 18 ke 28 km sahaja.

Balik bertugas di daerah Kuala Muda dan Sik di tanah besar ini umpama ikan dalam balang kecil di lepaskan ke kolam besar, boleh bergerak dengan lebih bebas. Masih terbayang di ingatan bagaimana teruknya keadaan jalanraya dari Gurun ke Jeniang sewaktu dalam pembinaan naik taraf 3 tahun dulu semasa penulis ke kediaman Pak Long Marzuki 9M2MZ untuk meminta tanda tangan pada borang permohonan lesen radio amatur. Selepas 3 tahun berlalu penulis melalui lagi sekali jalan yang sama, jalanraya empat lorong dari Gurun ke Jeniang dan jalan dua lorong dari Jeniang ke Sik telah siap sepenuhnya.

Jalan masuk ke sekolah terletak besebelahan dengan PPK Batu 5 Sik, penulis pun tercari cari antenna seorang rakan ham Sik yang berasal dari Pulau Langkawi dan pernah menjadi anak murid Cikgu Mahtar 9W2JML yang katanya tinggal di kuarters PPK tetapi tidak kelihatan. Sewaktu meninjau pelaksanaan projek, penulis terpandang sebuah rumah kuarters di SK Batu 5 Sik yang terpacak antenna V24 di hadapan rumah. Bila terpandang MPV di bawah porch lalu teringat rakan ham Sik yang pernah ditemui yang menggunakan MPV tersebut iaitu Cikgu Azhar 9W2AZR. Tanpa berlengah lagi penulis terus menelefon beliau yang kebetulan sedang waktu rehat untuk mendapatkan kepastian. Cikgu Azhar agak terkejut kerana tidak menyangka saya sedang berada dilokalan beliau. Jadi sempatlah eyeball qso dengan beliau di kafeteria sekolah, barulah diketahui rupa-rupanya beliau telah berpindah rumah ke kuarters sekolah pula.

Masih banyak lagi kawasan di sekitar Daerah Kuala Muda dan Sik yang penulis belum sampai. Tentunya memakan masa yang panjang untuk benar benar arif dengan lokasi di tanah besar ini. Walau apa pun penulis tetap bersyukur dan gembira dengan suasana kerja di tempat baru walaupun agak membebankan berbanding dengan di tempat lama.

Monday, January 12, 2009

PANCARAN MEGA DARI ALOR SETAR

Dengan ketinggian antenna yang tak seberapa penulis sempat juga memantau QSO rakan rakan di frekuansi simplek 146.900 MHz. Suatu perkara yang amat membanggakan dimana rakan-rakan ham di lokalan Alor Setar dapat bersimplek sehingga begitu jauh. Antara yang paling ketara ialah 9W2ZZF Bang Azani , 9W2RPM Cikgu Lutfi dan 9W2XJL Bang Azhar yang di terima 5 9 di Sungai Petani, apabila ditanya pada bang Azhar, beliau menjelaskan tiada apa apa tambahan pada radio, cuma dengan memasang antenna Collinear dengan RG8 sahaja. Kepada yang berminat mengetahui lebih lanjut sila rujuk laman web ASHamradio.

Monday, January 5, 2009

MULA TUGAS DI LOMBONG GARAM BARU

01 JANUARI 2009 Penulis memulakan agenda tahun baru di tempat kerja baru dengan suasana baru dan serba berlainan dari segi skop tugas berbanding di tempat kerja lama. Aktiviti radio amatur di Sg. Petani ini lebih meriah dari di Langkawi, maklumlah tempat luas dan ramai penduduk. Selepas lebih seminggu tinggal ditempat baru, barulah rasa lega sedikit setelah beberapa kerja utama pasang memasang selesai. Lebih seminggu peralatan komunikasi masih belum dipasang kerana perlu menyelesaikan hal hal lain yang lebih penting.





Thursday, January 1, 2009

9W2KMC BERPINDAH KE SUNGAI PETANI

23 Disember 2008 Hari yang di tunggu telah tiba, lori jabatan dari tanah besar telah tiba di dermaga Tanjung Lembung, Langkawi. Setibanya lori di kediaman penulis di kuarters JPS Langkawi, kerja kerja mengangkat barang ke dalam lori terus dijalankan oleh rakan rakan setugas. Menjelang tengah hari semua kerja kerja angkat mengangkat selesai dijalankan, meninggalkan beberapa barang yang tidak muat lori kepada jiran. Alhamdulillah semua urusan berkaitan pihak kastam berjalan lancar tanpa masalah besar. Tidak banyak yang dapat dihidangkan kepada rakan rakan yang membantu sekadar nasi gulai ayam kampung sahaja dan air kotak sahaja. Sebelah petang berurusan pula dengan pejabat TNB dan Bekalan Air untuk urusan pemotongan bekalan dan penutupan akaun. Akhir sekali membeli tiket feri jam 4.30 petang untuk belayar pulang ke tanah besar bersama keluarga dan bermalam di kediaman baru di Taman Dahlia, Sungai Petani.

24 Disember 2008 Jam 2.00 petang lori yang membawa barang-barang pindah selamat tiba di kediaman baru penulis, rakan rakan JPS Sungai Petani membantu menurunkan dan mangangkat barang barang masuk ke dalam rumah.

Penulis mengucapkan berbanyak banyak terima kasih kepada semua rakan rakan yang membantu dalam urusan perpindahan dari Pulau Langkawi ke Sungai Petani. tanpa bantuan rakan rakan urusan tersebut tidak akan berjaya. Hanya Allah Ta'ala sahajalah yang dapat membalas segala jasa dan kebaikan yang anda semua lakukan. Segala budi dan jasa anda semua akan tetap dikenang selamanya.