Sunday, September 28, 2008

RAMADHAN KALI KE 7 DI LANGKAWI

Ramadhan tahun ini merupakan kali ke 7 penulis mengerjakan Rukun Islam ketiga di Pulau Langkawi ini. Masa berlalu dengan cepat sekali, sedar tak sedar anak kecil berumur 2 tahun 10 bulan yang dibawa dulu sekarang sudah berada di tahun 3, pokok kelapa dan betik yang ditanam sudah berbuah lebat, pokok nangka yang semasa berpindah masuk dulu sebesar ibu jari kaki telah silih berganti berbuah dengan lebatnya. Di sinilah juga penulis mengenali apa itu beronoh dan laktut. Sempatlah menjamu mata pameran LIMA percuma beberapa kali. Yang paling mengejutkan ialah kejadian TSUNAMI yang melanda pantai barat pulau Langkawi di penghujung tahun 2004. Sungguh pun tidak seteruk di Kuala Muda dan Pulau Pinang tetapi kesan kerosakan yang menimpa cukup besar. Semua apa dilalui oleh penulis selama hampir tujuh tahun di Pulau Langkawi akan kekal dalam lipatan memori.

Sempena hari raya yang menjelang tiba, penulis ucapkan selamat berpuasa di hujung Ramadhan dan selamat menyambut hari raya aidil fitri, maaf zahir batin di atas segala kesilapan kepada semua.

Thursday, September 18, 2008

KELAB RADIO AMATUR KOTA SETAR

Kelab Radio Amatur Kota Setar dengan keahlian setakat ini seramai 65 orang. telah menjalankan berbagai aktiviti. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah eyeball bulanan, kawad merdeka dan majlis berbuka puasa. Setiap aktiviti mendapat sambutan yang amat menggalakkan, tetapi sayang sekali penulis tidak dapat turut serta maklumlah berada di tanah pulau agak sukar untuk menghadirkan diri. Walaubagaimanapun mudah2an suatu masa nanti akan ada peluang untuk turut serta.

Kelab Radio Amatur Kota Setar juga bertanggung jawab ke atas operasi dan penyenggaraan stesen pancar ulang di puncak Gunung Keriang. Memandangkan kos penyenggaraan stesen pancar ulang yang agak tinggi, sumbangan dana amatlah diharapkan daripada rakan-rakan. Salah satu cara untuk menyumbang kepada kebajikan stesen pancar ulang Gunung Keriang ialah dengan menjadi ahli kelab dan membayar yuran tahunan. Kepada rakan rakan radio amatur yang ingin bersama sama menyumbang ke arah kelangsungan operasi stesen pancar ulang dan aktiviti kelab bolehlah memohon menjadi ahli. Bersama-samalah kita menyumbang ke arah mengeratkan hubungan melalui gelombang radio amatur.

Friday, September 12, 2008

TAHNIAH TAHNIAH TAHNIAH

Setinggi tinggi TAHNIAH kepada rakan rakan yang baru lulus RAE dan telah mendapat Penguntukan Radas (Apparatus Assignment) dengan isyarat panggilan (callsign) baru muncul di frekuansi pancar ulang transnasional, local mahupun simplek. Berikut adalah senarai 14 rakan yang telah mendapat callsign masing masing. Terima kasih dan tahniah juga kepada Penyelia Sukan PPD Langkawi Cikgu Mahtar 9W2JML yang bersusah payah berusaha menjadikan impian satu kenyataan.

1 GHAZALI B. MD.ISA 9W2OCL
2 NAGAIAH A/L VELU 9W2NGY
3 AZHAR B. BAHAROM 9W2APL
4 MUHD. SHUKKERI B. HJ. ROKHANI 9W2SPL
5 MOHD. FAISAL B. ABD. WAHAB 9W2CFL
6 ROSLAN BIN MUSTAFFA 9W2RTL
7 AIZAL AZRI B. ZAKARIA 9W2GTL
8 RONIZAM SAIRIZAL B. MD. SANI 9W2RPT
9 MOHD. ISHAM B. SAADON 9W2IPL
10 FAKRULRADZI B. MAHTAR 9W2TXC
11 DZAINOL B. LADZIM 9W2NOL
12 RODZIMAN B. OSMAN 9W2CML
13 RAZALI B. OSMAN 9W2LPL
14 JAMALUDDIN BIN AHMAD 9W2DMR

Ribuan terima kasih kepada Cikgu Aziz 9W2AZE selaku Pengurus ASTRA Negeri Kedah yang banyak berkorban dalam menguruskan permohonan Apparatus Assignment dan callsign rakan rakan baru kita. Terima kasih juga kepada Penyelia Sukan PPD Langkawi Cikgu Mahtar


Monday, August 25, 2008

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN RADIO AMATUR 1/2008

Genap dua bulan penantian yang mendebarkan, akhirnya MCMC mengumumkan keputusan peperiksaan radio amatur (RAE 1/2008) pada hari ini 25/8/2008. TAHNIAH kepada yang lulus dan jangan putus asa kepada yang gagal. Cuba lagi di bulan November nanti. Nampaknya kali ini ramai calon-calon dari Langkawi yang lulus terutamanya dari sektor perguruan.

1. Keputusan Peperiksaan Radio Amatur RAE 2008-1

2. Borang pemohonan Apparatus Assignment (AA)

3. Borang akuan sumpah menyimpan rahsia

4. Borang permohonan callsign radio amatur

5. Surat sokongan 9M2....

6. Garispanduan radio amatur MCMC

7. Semakan Callsign di pengkalan data MCMC

Thursday, August 21, 2008

KEJOHANAN PERAHU LAYAR OPTIMIST MSSM 2008

Sempena cuti sekolah pertengahan penggal kedua 2008 ini Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah telah diberi kepercayaan oleh Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengelolakan Kejohanan Perahu Layar Optimist MSSM 2008. Kejohanan yang berlangsung di perairan Kuah berhadapan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Pokok Asam, Kuah, Langkawi dari 16-21hb. Ogos 2008 telah disertai oleh 104 pelayar dari 13 negeri dan wilayah persekutuan kecuali Kelantan, Pahang dan Sarawak.Lima kategori dipertandingkan iaitu berpasukan, individu bawah 12 tahun (B-12) dan bawah 15 tahun (B-15) lelaki dan perempuan. Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Perahu Layar Optimist MSSM 2008 diikuti Perak meraih tempat kedua manakala Johor di tempat ketiga keseluruhan.

Tahniah kepada semua pelayar yang mengambil bahagian dan tahniah juga kepada semua petugas yang bertungkus lumus menjalankan tanggung jawab yang diamanahkan tanpa mengira panas atau hujan. Semoga dapat lagi kita berjumpa dilain kesempatan. Terima kasih juga kepada penganjur yang menjemput penulis untuk sama-sama menyumbang khidmat kepada kelancaran perjalanan kejohanan tersebut.

Gambar2 sepanjang kejohanan boleh dilawati di album Flickr

Thursday, July 24, 2008

9W2MDE DI LANGKAWI

Terkejut dengan panggilan telefon dari rakan ham ASMADI BIN SHUKOR 9W2MDE di Permatang Pauh yang memaklumkan untuk masuk ke Langkawi pada Isnin 21/7/2008 di atas urusan kerja. Penulis rasa teruja untuk menemui rakan yang selama ini hanya bersua di ruang udara radio amatur sahaja. Hanya dapat bertemu 'eyeball' pertama kali dengan beliau pada petang 23/7/2008 di kediaman penulis yang kemudian disertai oleh Cikgu Mahtar 9W2JML.
9W2MDE & 9W2JML berlatarbelakangkan G. Raya

Wednesday, July 23, 2008

2 METER NET @ G. KERIANG REPEATER

Senarai rakan rakan ham yang cek net di pancar ulang Gunung Keriang pada hari Isnin 21/7/2008 telah di muat naik ke dalam laman blog Kota Setar Amateur Radio Club. Acara 2 meter net di pancar ulang Gunung Keriang dijalankan setiap hari Isnin jam 9.30 malam. Terima kasih kepada semua rakan yang telah sudi cek net dengan penulis selaku pengawal rangkaian pada tarikh tersebut. Pengawal rangkaian yang dipilih oleh penulis untuk mengendalikan acara 2 meter net pada hari Isnin minggu hadapan 28/7/2008 ialah saudara Hafiz 9W2WTF.

SAYANGILAH ISYARAT PANGGILAN (CALLSIGN)

Perkembangan terkini dalam dunia radio amatur di Malaysia. Pihak berkuasa dalam hal ehwal radio amatur telah mula melaksanakan langkah tegas memadamkan Isyarat Panggilan (callsign) dalam pengkalan data bagi pemegang pemegang isyarat panggilan yang tidak memperbaharui Penguntukan Radas (Apparatus Assignment) dalam tempoh yang ditetapkan. Memang sesuatu yang sukar diterima, kerana kita sudah sinonim dengan callsign kita tiba tiba callsign kita di pakai oleh orang lain. Ibarat gila talak jadinya, tapi apa nak buat perkara sudah jadi. Mungkin sesuatu ikhtiar boleh dilakukan untuk mendapat kembali bekas callsign kita tetapi mungkin melalui jalan sukar. Semoga kita semua mengambil iktibar dari apa yang sudah berlaku.



Keratan dari Apparatus Assignment yang menerangkan tempoh memperbaharui AA.

Friday, July 18, 2008

REPEATER ASTRA @ GUNUNG RAYA LANGKAWI

15 Julai 2008 yang lalu adalah hari cuti umum bagi seluruh negeri Kedah Sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Pada petang tersebut rakan rakan ham Langkawi telah bergotong royong membuat kerja amal membersih kawasan sekitar tapak repeater ASTRA G. Raya yang terletak di luar pagar stesen pemancar Telekom Malaysia.



Monday, July 14, 2008

KEKELIRUAN SEBUTAN NOMBOR KEAHLIAN ASTRA

Ramai rakan-rakan ham radio mempersoalkan keperluan menyebut No. Keahlian ASTRA di pancar ulang ASTRA, ada yang menyokong dan ada yang membantah kerana tiada tersebut dalam garispanduan MCMC.

Sebutan no. keahlian ketika QSO telah dicadangkan oleh Tuan Noorahim 9W2OCD dan disokong dalam Mesyuarat Agung ASTRA kali ke 10 pada 14hb. April 2007 di Pasir Salak. Cadangan ini dibuat adalah untuk menambahkan keahlian bagi mereka-mereka yang belum menjadi ahli dan sering kali di udara menggunakan repeater ASTRA. Sebutan ini tidak dipaksa dan terpulang kepada ahli-ahli untuk menyebutkannya.

Cuma satu perkara yang penulis rasa pihak pengurusan tertinggi ASTRA perlu perhatikan ialah bukan semua yang bernombor keahlian itu membayar yuran tahunan. Ada juga yang membayar sekali semasa mendaftar masuk sebagai ahli biasa dan terus menggunakan nombor keahlian tanpa membayar yuran tahunan untuk tahun tahun berikutnya. Sepatutnya ahli biasa yang tidak membayar yuran tahunan di masukkan dalam senarai ahli yang tidak membayar yuran tahunan supaya semua orang tahu siapa yang bermegah sangat menyebut nombor keahlian tetapi yang sebenarnya tidak membayar yuran tahunan.

Nasihat :-

No. keahlian boleh disebut ketika bermula atau ketika berakhir QSO, dan tidak perlu disebut setiap kali 'over'. Sekiranya terdapat ahli yang tidak menyebut nombor keahlian, mana-mana pihak yang sedang QSO dilarang bertanyakan tentang nombor keahlian seseorang itu. Dengan ini saya rasa penerangan ini jelas dan tiada mempunyai keraguan dimasa akan datang.

Selamat QSO

Saturday, July 12, 2008

LANGKAWI BEACH RUN 2008

12 Julai 2008 - Langkawi Beach Run 2008 telah berlangsung dengan jayanya di Pantai Tengah dan Pantai Chenang, Pulau Langkawi. SETINGGI TINGGI TAHNIAH kepada Cikgu Mahtar 9W2JML selaku Pengurus Pertandingan serta pasukan bantuan komunikasi radio yang telah menjalankan tugas dengan jayanya.

Tidak sangka pula ada rakan dari Pulau Mutiara Fazil 9W2FZ datang berkunjung ke tapak pertandingan. Terasa puas hati dapat bersalaman dengan rakan yang selama ini kita berbual di udara saja.

Penulis (kanan) bersama 9W2FZ di Pantai Tengah, Langkawi

Sunday, May 18, 2008

JAMBOREE ON THE AIR (JOTA) KUALA SALA , KEDAH

SABTU 17hb. Mei 2008, semasa menunggu kerosakan kereta dibaiki di woksyop Pak Razak 9W2DEC penulis bernasib baik dapat bersalam perdana dengan Pak Zainol 9W2ZD dan Pak Jat Kole 9W2ZEV. Selesai kereta dibaiki bersama dengan Pak Razak dan Pak Zainol menuju ke Jamboree On The Air (JOTA) Pengakap Kedah yang diadakan di SRJK China Kuala Sala, Kedah. Pak Long Marzuki 9M2MZ bersama-sama rakan-rakan ham telah bertungkus lumus mendirikan stesyen radio amatur dengan callsign 9M1CSK membawa maksud 9M1- prefix callsign bagi Malaysia, C - Centum iaitu 100 tahun Pengakap Di Malaysia, S - Scouts/Pengakap dan K - Kedah

Stesyen-stesyen JOTA di Malaysia diadakan disetiap negeri dengan callsign masing-masing berdasarkan nombor plat kereta motor negeri berkenaan, misalnya 9M1CSD untuk Kelantan, 9M1CSA untuk Perak dan 9M1CSC untuk Pahang.

Frekuansi JOTA yang digunakan ialah:

JALUR SSB (Phone) CW9 (Morse Code)
80 meter 3.740 MHz 3.590MHz
40 meter 7.090 MHz 7.030 MHz
20 meter 14.290 MHz 14.070 MHz
17 meter 18.140 MHz 18.080 MHz
15 meter 21.360 MHz 21.140 MHz
12 meter 24.960 MHz 24.910 MHz
10 meter 28.390 MHz 28.180 MHz

Untuk jalur 2m, frekuansi tempatan yang boleh digunakan untuk saluran panggilan ialah 145.300 MHz dan link kebangsaan kepunyaan MARTS untuk komunikasi seluruh negara.

Pertemuan di jamboree pengakap itu juga meninggalkan kenangan manis kepada penulis kerana dapat bersalam perdana dengan rakan-rakan yang sebelum ini belum pernah bersua antaranya Cikgu Dot atau Abu Hassan 9W2DOT, Rasidi 9W2CDR, Zainudin Kg. Rambai 9W2ZMN.

Saturday, May 10, 2008

SALAM PERDANA 9W2DZE 9W2XRC 9W2DHL

Hari Khamis 8hb Mei 2008 penulis sempat bertemu dan bersalam perdana dengan 9W2DZE Cikgu Radzi dan 9W2XRC Cikgu Sirajudin yang datang bersama 9W2PLK Cikgu Zaidi menjadi pengadil pertandingan kawad yang diadakan di dataran kejat LADA.

Hari Sabtu 10hb. Mei 2008 pula dapat bertemu dan salam perdana dengan 9W2DHL Pak Hasbullah. Walaupun pertemuan cuma sekejap namun terasa puas hati kerana dapat bertemu mata dengan orang yang selama ini bertemu bual di udara saja.

Monday, May 5, 2008

9W2MUS - Dr. SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Pada 04hb. Mei 2008 angkasawan ulung negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri (SMK Mahsuri), Langkawi Geopark. Kedatangan angkasawan negara itu yang di atur oleh Majlis Tindakan Pelancongan Langkawi ke SMK Mahsuri adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan berkongsi pengalaman yang beliau lalui sepanjang misi menjadi angkasawan.

Di samping itu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor juga merasmikan pelancaran Kelab Radio Amatur SMK Mahsuri dan Kelab Radio Amatur Pendidikan Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi. Beliau sempat berkomunikasi dengan Pak Aziz Embi 9W2AZE di Kelab Radio Amatur SMK Dato' Syed Omar, Alor Setar menggunakan pancar ulang Gunong Raya, Langkawi.