Sunday, March 1, 2009

CALLSIGN BARU DI SUNGAI PETANI

28/2/2009 Jam 9.00 malam di rumah kelab ham radio Sg. Petani telah diadakan majlis jamuan kesyukuran oleh rakan-rakan radio amatur yang baru mendapat "Apparatus Assignment" dan isyarat panggilan (callsign) masing-masing di susuli dengan perbincangan mengenai aktiviti ham radio di kawasan Sg. Petani. Gembira dapat bertemu rakan-rakan baru dan lama, rakan rakan baru yang selama ini bertemu di udara sahaja. TAHNIAH kepada rakan-rakan yang baru mendapat sayap semoga semakin lama terbang semakin bertambah ramai sahabat. Biar ramai sahabat jangan ramai musuh kerana hobi bermain radio amatur bertujuan ke arah kebaikan.
Antara callsign baru di kawasan Sungai Petani ialah :-

9W2XAN - Amizan
9W2LDZ - Lan
9W2SRH - Wan
9W2UCC - Zul
9W2MBI - Lutfi
9W2ISP - Mat
9W2KNA XYL kepada 9W2IKA

Tuesday, February 3, 2009

JAUH PERJALANAN LUAS PANDANGAN

02 Februari 2009 Penulis bersama rakan setugas ke Batu 5, Sik untuk memeriksa kerja kerja pembinaan bangunan tambahan SK Batu 5 Sik. Sudah lama penulis tidak bergerak jauh untuk memeriksa projek maklumlah semasa di Langkawi dulu paling paling jauh pun setakat Padang Matsirat atau Ewa saja yang jaraknya antara 18 ke 28 km sahaja.

Balik bertugas di daerah Kuala Muda dan Sik di tanah besar ini umpama ikan dalam balang kecil di lepaskan ke kolam besar, boleh bergerak dengan lebih bebas. Masih terbayang di ingatan bagaimana teruknya keadaan jalanraya dari Gurun ke Jeniang sewaktu dalam pembinaan naik taraf 3 tahun dulu semasa penulis ke kediaman Pak Long Marzuki 9M2MZ untuk meminta tanda tangan pada borang permohonan lesen radio amatur. Selepas 3 tahun berlalu penulis melalui lagi sekali jalan yang sama, jalanraya empat lorong dari Gurun ke Jeniang dan jalan dua lorong dari Jeniang ke Sik telah siap sepenuhnya.

Jalan masuk ke sekolah terletak besebelahan dengan PPK Batu 5 Sik, penulis pun tercari cari antenna seorang rakan ham Sik yang berasal dari Pulau Langkawi dan pernah menjadi anak murid Cikgu Mahtar 9W2JML yang katanya tinggal di kuarters PPK tetapi tidak kelihatan. Sewaktu meninjau pelaksanaan projek, penulis terpandang sebuah rumah kuarters di SK Batu 5 Sik yang terpacak antenna V24 di hadapan rumah. Bila terpandang MPV di bawah porch lalu teringat rakan ham Sik yang pernah ditemui yang menggunakan MPV tersebut iaitu Cikgu Azhar 9W2AZR. Tanpa berlengah lagi penulis terus menelefon beliau yang kebetulan sedang waktu rehat untuk mendapatkan kepastian. Cikgu Azhar agak terkejut kerana tidak menyangka saya sedang berada dilokalan beliau. Jadi sempatlah eyeball qso dengan beliau di kafeteria sekolah, barulah diketahui rupa-rupanya beliau telah berpindah rumah ke kuarters sekolah pula.

Masih banyak lagi kawasan di sekitar Daerah Kuala Muda dan Sik yang penulis belum sampai. Tentunya memakan masa yang panjang untuk benar benar arif dengan lokasi di tanah besar ini. Walau apa pun penulis tetap bersyukur dan gembira dengan suasana kerja di tempat baru walaupun agak membebankan berbanding dengan di tempat lama.

Monday, January 12, 2009

PANCARAN MEGA DARI ALOR SETAR

Dengan ketinggian antenna yang tak seberapa penulis sempat juga memantau QSO rakan rakan di frekuansi simplek 146.900 MHz. Suatu perkara yang amat membanggakan dimana rakan-rakan ham di lokalan Alor Setar dapat bersimplek sehingga begitu jauh. Antara yang paling ketara ialah 9W2ZZF Bang Azani , 9W2RPM Cikgu Lutfi dan 9W2XJL Bang Azhar yang di terima 5 9 di Sungai Petani, apabila ditanya pada bang Azhar, beliau menjelaskan tiada apa apa tambahan pada radio, cuma dengan memasang antenna Collinear dengan RG8 sahaja. Kepada yang berminat mengetahui lebih lanjut sila rujuk laman web ASHamradio.

Monday, January 5, 2009

MULA TUGAS DI LOMBONG GARAM BARU

01 JANUARI 2009 Penulis memulakan agenda tahun baru di tempat kerja baru dengan suasana baru dan serba berlainan dari segi skop tugas berbanding di tempat kerja lama. Aktiviti radio amatur di Sg. Petani ini lebih meriah dari di Langkawi, maklumlah tempat luas dan ramai penduduk. Selepas lebih seminggu tinggal ditempat baru, barulah rasa lega sedikit setelah beberapa kerja utama pasang memasang selesai. Lebih seminggu peralatan komunikasi masih belum dipasang kerana perlu menyelesaikan hal hal lain yang lebih penting.





Thursday, January 1, 2009

9W2KMC BERPINDAH KE SUNGAI PETANI

23 Disember 2008 Hari yang di tunggu telah tiba, lori jabatan dari tanah besar telah tiba di dermaga Tanjung Lembung, Langkawi. Setibanya lori di kediaman penulis di kuarters JPS Langkawi, kerja kerja mengangkat barang ke dalam lori terus dijalankan oleh rakan rakan setugas. Menjelang tengah hari semua kerja kerja angkat mengangkat selesai dijalankan, meninggalkan beberapa barang yang tidak muat lori kepada jiran. Alhamdulillah semua urusan berkaitan pihak kastam berjalan lancar tanpa masalah besar. Tidak banyak yang dapat dihidangkan kepada rakan rakan yang membantu sekadar nasi gulai ayam kampung sahaja dan air kotak sahaja. Sebelah petang berurusan pula dengan pejabat TNB dan Bekalan Air untuk urusan pemotongan bekalan dan penutupan akaun. Akhir sekali membeli tiket feri jam 4.30 petang untuk belayar pulang ke tanah besar bersama keluarga dan bermalam di kediaman baru di Taman Dahlia, Sungai Petani.

24 Disember 2008 Jam 2.00 petang lori yang membawa barang-barang pindah selamat tiba di kediaman baru penulis, rakan rakan JPS Sungai Petani membantu menurunkan dan mangangkat barang barang masuk ke dalam rumah.

Penulis mengucapkan berbanyak banyak terima kasih kepada semua rakan rakan yang membantu dalam urusan perpindahan dari Pulau Langkawi ke Sungai Petani. tanpa bantuan rakan rakan urusan tersebut tidak akan berjaya. Hanya Allah Ta'ala sahajalah yang dapat membalas segala jasa dan kebaikan yang anda semua lakukan. Segala budi dan jasa anda semua akan tetap dikenang selamanya.

Tuesday, December 16, 2008

SUNGAI PETANI DULU DAN KINI

16 Disember 2008 - tercatat satu lagi sejarah dalam diari hidup penulis sebagai anggota perkhidmatan kerajaan. Setelah berkhidmat selama 25 tahun 4 bulan di Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Kedah penulis telah ditukarkan pula ke Jabatan Kerja Raya Kuala Muda/Sik bermula 16 Disember 2008.

Beberapa hari menjelang tarikh melapor diri di JKR Sungai Petani, seberapa ramai saudara mara, rakan dan kenalan dihubungi memohon bantuan mencari rumah sewa yang bersesuaian dengan kriteria hampir dengan sekolah dan pejabat. Selepas hari raya korban, penulis terus menghantar kereta keluar ke tanah besar melalui Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi dan pada keesokan harinya terus ke Kuala Kedah untuk mengambil kereta dan bertolak ke Sungai Petani dengan tujuan mencari rumah sewa.

Dalam perjalanan menghala ke Sungai Petani mengikut jalan Batas Paip-Yan-Singkir-Semeling, satu SMS diterima dari rakan memberitahu ada sebuah rumah kosong untuk disewa di Penghulu Him. Sampai sahaja di Sungai Petani terus bertemu rakan tersebut dan bersama beliau menuju ke rumah yang dimaksudkan. Setelah bertemu wakil tuan rumah dan meninjau kawasan sekitar dan dalam rumah dan setelah dimaklumkan berhampiran dengan masjid, sekolah rendah dan tempat kerja, maka tanpa berlengah lagi penulis pun bersetuju untuk menyewa rumah tersebut.

Bermulalah era baru penulis mula tinggal kembali di Sungai Petani setelah meninggalkannya pada tahun 1975 setelah bersekolah di sebuah sekolah berasrama yang mana salah seorang bekas guru penulis ialah Cikgu Danial 9M2DI. Satu perasaan gembira yang sukar digambarkan dan nostalgia penulis mengenangkan zaman persekolahan di tahun tujuh puluhan dulu di Sungai Petani. Masih segar dalam ingatan penulis di tapak medan selera berhampiran jam besar dahulunya adalah tapak pasar minggu yang beroperasi dari awal pagi Jumaat hingga tengah malam. Dan bangunan pejabat kerajaan 4 tingkat yang telah sedia ada pada tahun 1973 dulu. Tidak disangka sama sekali yang penulis akan melapr diri bertugas di bangunan 4 tingkat tersebut pada hari ini.

Pembangunan pesat di kawasan perbandaran Sungai Petani hampir menenggelamkan ingatan terhadap suasana di tahun 70an dulu. Dahulu kawasan berhampiran Masjid Sungai Petani, Jalan Pengkalan terdapat banyak kuarters kakitangan kerajaan. Sekarang ini semua itu tiada lagi, sudah dipenuhi dengan kedai dan komplek perniagaan. Jalan Pengkalan dulu akan tamat di Jeti Kastam, sekarang telah dibina jambatan menghubungkan Taman Intan. Yang masih tidak banyak perubahan ialah kawasan Kg. Penghulu Him, mungkin kerana kawasan rizab melayu.

Kawasan yang paling jauh dibangunkan di uatara Sungai Petani ialah IKM dan Sekolah Menengah Sains Kedah (sekarang SMK Sultan Mohamad Jiwa) Kawasan sekitar tempat tersebut adalah Ladang Getah Arumugam Pillai yang terkenal dengan keluasannya. Masih segar dalam ingatan penulis setiap pagi Jumaat semua murid diwajibkan berlari 'cross country' dan jalan ladang kawasan estet Arumugam Pillai menjadi salah satu laluan pilihan. Sekarang ini kawasan estet tersebut telah berubah menjadi Taman Ria dan Taman Ria Jaya.

Sesungguhnya kembali bermastautin di Sungai Petani mengembalikan nostalgia penulis di zaman persekolahan dahulu.

Sunday, December 14, 2008

SELAMAT TINGGAL PULAU LANGKAWI

Sekian lama menanti akhirnya penulis mendapat arahan bertukar ke Sungai Petani mulai 16/12/2008. Selama 6 tahun 8 bulan bertugas di Langkawi sempatlah berpuasa di bulan Ramadan dan berhari raya korban selama 7 kali. Rasanya tidak sabar lagi untuk kembali bertugas di tanah besar. Sememangnya banyak sekali kenangan sepanjang tinggal menetap di Langkawi lebih lebih tinggal di kawasan kuarters yang bersebelahan pejabat. Suatu perkara yang penulis rasakan iaitu ketenangan jiwa.

Wednesday, December 3, 2008

QSL CARD DARI YD6HOY MEDAN

02 DISEMBER 2008 Tercatat sebagai hari yang bersejarah buat penulis kerana menerima QSL Card pertama dari YD6HOY Pak Usman R. Lubis, Medan, Sumatera Utara. Kad yang diterima itu mengingatkan penulis tarikh 27 Oktober 2008 kerana berjaya mencapai pancar ulang Lokal Medan Utara 146.320 MHz. dari base station di Langkawi menggunakan antenna home brew pada ketinggian 40 kaki (12m) sahaja. Memang jarang sekali propagasi begitu baik sehingga boleh mencapai ke Medan dengan VHF. Kebetulan pula sememangnya penulis telah siapkan maklumat diri di dalam QRZ.COM untuk kemudahan rakan-rakan yang kontek perdana mengirim kad QSL.

Monday, November 17, 2008

KULIM OH KULIM

16 November 2008

Penulis telah pergi menjemput harmonik yang mengikuti Seminar Menjawab Soalan Biologi di MRSM PDRM Kulim. Semasa di Butterworh - Kulim Expressway (BKE) terdengar audio Pak Din Tasek 9W2MSD di repeater Bendera yang sedang dalam perjalanan balik ke base station beliau di Tasek. Lalu penulis cuba memanggil beliau, syukur beliau menjawab. Selama ini penulis tidak berkesempatan QSO dengan beliau, sekadar monitor saja perbualan beliau dengan rakan-rakan. Dengan kesempatan yang ada penulis terus menuju ke base station beliau yang terletak di Tasek tidak jauh dari Kulim. Dapatlah berjumpa dan bersalaman dengan Pak Din Tasek, gembira sekali rasanya. Walaupun tidak dapat berbual panjang kerana perlu menjemput harmonik dan tiga rakannya balik ke Langkawi.

Tidak di sangka sama sekali Kulim yang menjadi tempat penulis bertugas selama lebih kurang 14 tahun dari 1983 hingga 1997 kini telah banyak berubah. Masih segar dalam ingatan bagaimana wajah Kulim semasa penulis mula-mula bertugas di sana. Semasa di jalan dua lorong menuju ke Lunas tiba tiba ternampak sebuah MPV putih berantenna panjang dibelakangnya, bila diperhatikan betul betul callsign yang tertera di belakang MPV tersebut rupa-rupanya 9M2SO. Waah bukan main bergaya sekali Tuan Hj. Shafie dengan MPV nya.

Hajat dihati teringin juga nak berjumpa dengan rakan-rakan di Kulim tetapi apakan daya masa tidak mengizinkan kerana terpaksa bergegas pulang ke jeti untuk menaiki feri ke Langkawi.

ANGIN TIMUR KEMBALI BERTIUP

Musim cuti sekolah kembali lagi, sudah menjadi ulangan pada setiap hujung tahun cuti panjang sessi persekolahan akan bersamaan dengan musim angin timur bertiup. Angin sejuk yang bertiup kadang kala kencang dari arah matahari terbit akan berlarutan sehingga awal tahun hadapan. Terasa nyaman sekali bila angin sejuk bertiup masuk ke dalam rumah melalui jendela. Fenomena ini telah menjadi rutin tahunan, bagi Negeri Kedah dan Perlis kedatangan angin ini menandakan musim hujan bakal berakhir dan akan berganti dengan musim kering di mana tanah sawah akan menjadi kering kontang di bulan Januari hingga March dan kadang kala berlanjutan ke bulan April dan Mei.


Tuesday, October 28, 2008

PROPAGASI VHF YANG MEMBUKA

Jam 8.00 malam waktu Malaysia bersamaan jam 19.00 waktu Indonesia Barat (WIB) tanggal 27/10/2008, penulis cuba membuka pancar ulang lokal Medan Utara, Sumatera yang letaknya melebihi 300km dari Langkawi. Frekuansi pancarulang tersebut ialah 146.320MHz +600 yang penulis dapat dari 9W2JML Penyelia Sukan PPD Langkawi yang melawat Medan beberapa bulan lepas. Dari maklumat beliau pancar ulang tersebut dibangunkan oleh Pak Yusuf YB6HPG yang juga tuan punya toko peralatan radio terkemuka di Medan.

Syukur ada tindakbalas dari pancar ulang di seberang lautan sana. Sebelum ini ada juga dicuba tetapi jarang dapat membuka pancar ulang tersebut mungkin antenna yang tidak cukup tinggi atau propagasi yang kurang mendukung. Panggilan yang dibuat pada malam tadi tanpa disangka sangka di sambut oleh Pak Auli YC6PZB, kemudian disambung pula oleh Pak Suki YD6PLB, seterusnya disambung lagi oleh Pak Os YD6HOY dan terakhir Pak Zulamri YC6IEB yang juga pengawal rangkaian di malam tersebut. Audio dari pancar ulang Medan Utara yang diterima cukup baik sekali. Penulis menamatkan QSO bersama Pak Zulamri jam 8.55 malam kerana beliau akan menjalankan acara 2 meter net di pancar ulang tersebut pada jam 20.00 WIB. Tiga orang rakan ham dari Perlis juga turut menyertai net tersebut iaitu Nizam 9W2ANW, Che Mi 9W2CME dan Che An 9W2CAN Antenna yang digunakan untuk mencapai pancar ulang lokal Medan Utara, Sumatera.

Thursday, October 16, 2008

REPEATER GUNUNG RAYA LANGKAWI BERFUNGSI KEMBALI

Jam 8.00 malam 15/10/2008 tanpa mempedulikan hujan yang turun di Gunung Raya, Langkawi, saudara Sharudin 9W2CB bersama-sama Nasir 9W2CMN, Hizami 9W2MEI, Shauki 9W2SKI dan 9W2XJB telah bertungkus lumus memasang kembali peralatan repeater yang telah dibaikpulih. Peralatan repeater ASTRA Gunung Raya telah di bawa turun oleh 9W2CB dengan izin dari Bapa Presiden ASTRA 9M2RR untuk dibaiki beberapa minggu yang lalu. Alhamdulillah berkat kesabaran dan kemahiran yang ada pada saudara Sharudin, repeater telah kembali berfungsi seperti asal mulai jam 10.45 malam. Linking dengan Larut telah dibuka kembali membolehkan rakan-rakan di sekitar Langkawi, Alor Setar, Jitra dan Perlis menggunakan untuk memancar ke jalur panjang transnasional ASTRA meliputi seluruh semenanjung. Frekuansi pancarulang Gunung Raya Langkawi ialah 145.625MHz, -600 tone 103.5

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH DAN PENGHARGAAN TERIMA KASIH kepada krew2 yang berusaha membaikpulih repeater tersebut tanpa mengira penat lelah dan waktu. Hanya ALLAH sahajalah yang memelihara keselamatan rakan rakan yang naik ke puncak G. Raya dari segala kemungkinan.

Sunday, October 5, 2008

REPEATER BARU DI BUKIT PALONG, BALING

Terlebih dahulu penulis ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin. Jemu dengan keupayaan yang terhad HT semasa berhari raya di kampung halaman tambahan pula stesen pengulang di Jerai tidak berfungsi sepanjang perayaan, penulis pun cuba cubalah scan di frekuansi amatur. Sampai di 147.625 MHz kedengaran audio rakan rakan ham di lokalan Baling dan Sg. Petani sedang menguji stesen pengulang baru di Bukit Palong, Baling. Dari scan tone yang dibuat dapatlah tone pengulang tersebut iaitu 85.4 dan minus 600 hasil dari reverse ke atas rakan yang bermobil di Batu 17 Guar Chempedak. Sungguhpun penulis dapat monitor dengan jelas dari Langkawi sayang sekali tak dapat memancar ke pengulang tersebut. Tahniah kepada rakan rakan di Baling yang berjaya mendirikan stesen pengulang di Bukit Palong dengan prestasi yang memberansangkan.