Tuesday, June 22, 2010

JALAN JALAN MAKAN ANGIN DI KELANTAN DARUL NAIM


Cuti sekolah yang lalu penulis bersama keluarga sempat meluangkan masa bersama adik Ishak Mat 9W2IMR berkonvoi ke rumah adik Ismail Mat, di Negeri Che Siti Wan Kembang , Kelantan Darul Naim. Beliau bertugas di New Straits Times, Kota Bahru sejak lebih empat tahun lalu. Penulis menunggu ketibaan adik Ishak dari kampung yang melalui jalan Jitra - Gurun - Jeniang - Batu 5 Sik - Parit Panjang di Pekan Kuala Pegang. Memandangkan agak lama lagi hendak menunggu, terus ke Pekan Kupang pekena nasi kandar dulu sebagai pengalas perut sebelum berjalan jauh. Selesai mengalas perut berpatah balik pula ke Pekan Kuala Pegang menanti ketibaan 9W2IMR yang muncul setengah jam kemudian.Selesai bersalaman kami meneruskan perjalanan melalui jalan raya timur barat ikut laluan Kuala Pegang - Kg. Tiak - Gerik.Terdapat dua laluan pilihan jalan ke Gerik. Samaada ikut jalan Kuala Pegang-Baling-Pengkalan Hulu-Klian Intan-Gerik sejauh 65 km atau jalan Kuala Pegang-Kampung Tiak-Gerik sejauh 51 km.

Laluan Kuala Pegang - Kg. Tiak - Gerik = 51 km

Laluan Kuala Pegang - Baling - Pengkalan Hulu - Gerik = 65km

Cuaca cerah dari Kedah hingga ke hentian Pandangan Indah Titiwangsa memudahkan pemanduan. Sudah menjadi kebiasaan pemandu pemandu yang melalui jalan timur barat untuk singgah di kawasan hentian rehat Pandangan Indah Titiwangsa untuk menikmati pemandangan dari puncak banjaran Titiwangsa dan menghirup udara dingin sambil menjamu selera di Restoran Amiza Titiwangsa. Semasa kami tiba di sana sekitar jam lima petang, cuaca masih cerah lagi. Penulis sempat memantau rakan-rakan radio amatur Kedah sedang QSO dengan rakan-rakan di Kelantan melalui repeater Pandangan Indah 9M4RPI. Pancaran dari repeater Lokal Jerai 9M4LGJ, repeater 9M4RPT dan repeater Gunung Jerai dapat diterima dengan jelas. Tidak berapa lama cuaca cerah bertukar kepada kabus yang semakin lama semakin tebal dan tidak lama kemudian hujan pun turun.


Repeater ASTRA di puncak Pandangan Indah Titiwangsa

9W2IMR (kiri) dan 9W2KMC (kanan)
Kebetulan semasa hendak mula meneruskan perjalanan ke Jeli kami ternampak sebuah Perdana hitam berantenna dan bercallsign 9W2KSL. Kami meneruskan borak simplek dengan harapan rakan dalam Perdana tersebut scan perbualan kami. Tekaan kami tepat, tidak lama kemudian 9W2KSL kontek. Bermula dengan salam perkenalan di udara membawa kepada bersalaman kontek perdana di stesen Petronas Bukit Bunga.Sememangnya seronok berkunjung ke Negeri Kelantan, lebih-lebih lagi Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor. Barangan yang dijual di bazar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor agak mahal juga, mungkin peniaga mengambil kesempatan dari ramai pelancong yang datang berkunjung ke sana. Peniaga pula jual mahal, jangan harap nak minta tawar kata mereka harga tetap. Biarlah kerana kita tahu barang yang sama boleh dibeli murah setengah harga di Jitra.

Penulis tidak berminat sangat hendak membeli belah, tetapi lebih berminat melihat suasana yang ramai dan aktiviti menyeberangi Sungai Golok yang menjadi sempadan kedua negara Malaysia dan Thailand. Bagi penduduk tempatan tiada sempadan bagi mereka. Mereka bebas menyeberangi Sg. Golok bila-bila masa sahaja dengan tambang seringgit.




No comments: