Monday, April 20, 2009

9W2KPA MENGHARUMKAN NAMA NEGARA

SETINGGI TINGGI TAHNIAH kepada rakan ham dari Kedah iaitu 9W2KPA MOHD KHAIRUL EFFENDI BIN CHE WAN yang kini sedang berada di Helsinki, Finland selama 3 minggu kerana menghadiri Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu, Finland. Walaupun masih berusia muda namun amat bertuah sekali telah terpilih untuk mewakili negara. Semoga Khairul selamat kembali ke Malaysia sedikit masa lagi. Di bawah adalah petikan berita yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 20.04.2009

Angkasawan ucap tahniah pada peserta negara

HELSINKI (Finland) 19 April - Peserta negara yang memenangi tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu di sini hari ini, menerima kunjungan angkasawan terakhir ke bulan, Harrison Hagan Schmitt.

Harrison, 74, yang pernah ke bulan dengan pesawat Apollo 17 pada tahun 1972 bertemu dengan peserta negara selepas menyampaikan ceramah mengenai pengalaman beliau di angkasa pada festival tersebut.

Ahli geologi dari Pasadenia itu turut mengucapkan tahniah kepada Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Som Jud a/l Muniany, 16 dan Muhammad Fazrel Ashraf Azizzan, 15, sambil berbual dengan mereka.

"Bagus saya harap anda semua teruskan aktiviti ini," katanya ringkas.

Harrison turut melawat gerai Malaysia kira-kira 10 minit dan sempat melihat dari dekat mengenai latar belakang Malaysia.

Angkasawan itu yang menyertai NASA pada tahun 1965 mengambil masa kira-kira 300 jam untuk sampai ke bulan.

Sementara itu, Mohd. Khairul Effendi gembira dengan kunjungan angkasawan itu yang sudi bertemu mereka walaupun dalam tempoh yang singkat.

Semasa menyampaikan ceramah Harrison berkata, kecenderungan banyak negara menyertai festival seperti itu patut diteruskan terutama melibatkan generasi muda.

"Beri peluang kepada generasi muda dengan lebih giat terhadap aktiviti sains," ujarnya.

Khamis lalu, tiga peserta negara memenangi tiga pingat emas pada festival tersebut selepas kertas kerja bertajuk Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air berjaya menarik perhatian penganjur dan juri. - UTUSAN


Kuih tradisional tambat hati pengunjung di Finland

HELSINKI (Finland) 19 April - Baulu, kuih siput dan muruku adalah antara makanan tradisional Malaysia yang berjaya menambat hati para pengunjung Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu di sini hari ini.

Selain kedua-dua makanan popular itu, turut ditonjolkan ialah teh tarik yang mendapat perhatian pengunjung dalam usaha mempromosikan makanan tradisional melalui festival peringkat antarabangsa seperti itu.

Promosi makanan tradisi itu diperkenalkan oleh tiga pelajar Malaysia dan tiga guru pengiring mereka yang baru selesai menyertai festival tersebut yang menyaksikan wakil negara itu turut menggondol tiga pingat emas.

Tiga pelajar terlibat ialah Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Som Jud a/l Muniandy, 16, dan Muhammad Fazrel Ashraf Azizan, 15, manakala tiga guru pengiring ialah S. Kalaimani, M. Ramesh dan Roslee Abd. Hamid.

Kalaimani ketika ditemui berkata, usaha promosi itu dilakukan bagi membolehkan peserta yang kebanyakannya dari negara Eropah, Afrika dan Timur Tengah dapat merasai kuih tradisional Malaysia.

Festival yang berlangsung sejak 12 April lalu dan berakhir semalam itu disertai 80 buah negara yang mengambil bahagian dalam pelbagai kategori sains, teknologi dan alam sekitar.

Ia dianjurkan badan antarabangsa Environment Online (ENO) di Areena Joensuu.

Menurut Kalaimani, pihaknya membuat persediaan lebih awal dengan membawa sendiri kuih tersebut semata-mata mahu memperkenalkan produk tradisional itu bagi menonjolkan identiti Malaysia di mata dunia.

"Kami bukan sahaja mahu menang dalam festival ini malah mahu memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi untuk dikunjungi sekali gus menikmati makanan tradisional," katanya gembira. - UTUSAN


No comments: