Tuesday, November 6, 2012

STOK BARU ANTENNA GAZDEN DARI PULAU JAWA

 Dalam memenuhi tuntutan hobi bermain radio amatur kita tidak terlepas dari memerlukan antenna untuk memancar. Disamping antenna buatan sendiri kita juga menggunakan antenna buatan kilang. Pada pemerhatian penulis amat jarang sekali kelihatan penggunaan antenna dari negara jiran seberang laut kita iaitu Indonesia. Pertama kali penulis mendengar penggunaan antenna dari Indonesia ialah semasa menetap di Pulau Langkawi. Seringkali kedengaran seorang rakan iaitu Bang Mail 9W2BML di Kg. Padang Gaong, Langkawi QSO simplek dengan rakan-rakan di tanah besar


  Tertarik dengan kualiti audio dan kuasa pemancarannya, penulis telah mendapatkan info dari Bang Mail mengenai antenna yang digunakan. Barulah tahu rupa-rupanya beliau menggunakan antenna GAZDEN buatan Indonesia. Penulis telah memohon bantuan kepada Bang Mail untuk mendapatkan satu set antenna yang serupa. Sehingga penulis bertukar pindah balik ke tanah besar bayang antenna itu pun masih belum kelihatan, maklumlah terpaksa menunggu rakan beliau yang bekerja kapal membawa balik barangan tersebut. Tunggu punya tunggu suatu hari selepas hampir setengah tahun pesanan di buat Bang Mail menelefon memaklumkan antenna sudah sampai ditangan beliau. Dengan bantuan rakan ham Langkawi 9W2JML Cikgu Mahtar antenna GAZDEN tersebut selamat saya terima di Sungai Petani.





 Pertama kali membuka kotak antenna, rupa-rupanya antenna itu amat ringan dan mudah sekali untuk memasangnya. Seorang diri pun boleh memasangnya kerana pengilang telah menandakan siap-siap dimana hendak mengikat dengan 'hose clamp' penyambungannya. Penulis telah menggunakan kabel Diamond RG8 Low Loss untuk menyambungkan antenna dan radio ICOM IC-2200H. Ternyata prestasi antenna tersebut amat memuaskan hati. Apa tidaknya, mahu simplek saja senang-senang saja sampai Perlis dari Sungai Petani. Paling seronok sekali penulis dapat memegang repeater Brincang qso dengan 9W2ICD Cikgu Shidi di Cameron Highland dari Sungai Petani dengan antenna GAZDEN pada ketinggian 6 meter sahaja.




Tidak ramai rakan-rakan radio amatur di kawasan Sungai Petani yang menggunakan antenna GAZDEN buatan negara jiran Indonesia. Kebanyakan rakan amatur di sini menggunakan antenna buatan Thailand atau lebih dikenali dengan HS9. Penulis telah cuba membuat pesanan untuk mendapatkan bekalan antenna GAZDEN dari Bang Mail Langkawi, tetapi sayang sekali kerana dimaklumkan rakan beliau itu sudah tidak bekerja kapal lagi. Putus sudah harapan untuk mendapatkan antenna tambahan untuk diletakkan di portable station penulis. Secara kebetulan baru-baru ini penulis telah mendapat seorang kenalan di Pulau Jawa, Indonesia yang boleh mendapatkan GAZDEN original

   Tetapi untuk menghantarnya dari Indonesia ke Malaysia terpaksa melalui ranjau yang banyak dan memakan biaya yang besar juga, tambahan pula terpaksa berhadapan risiko perlu bersoal jawab dengan pihak kastam di Unit Tahanan Kastam bertempat di Pos Malaysia Butterworth sekiranya kiriman ditahan di sana.

Sunday, October 14, 2012

9W2KKK KEMBALI KERAHMATULLAH

Penulis tiba di rumah lebih kurang jam 5.30 petang 13.10.2012 dari Beseri selepas menziarahi anak yang tinggal di asrama. Selepas magrib penulis membuka muka buku sambil memantau di frekuensi simplek lokal Ambangan Heights. Tak lama kemudian kedengaran rakan-rakan memaklumkan mengenai Datuk K kemalangan dan sedang berada di wad ICU Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Terbayang di fikiran penulis Datuk K yang mana satu Datuk K-CT atau 9W2KKK, Khusaini Sik. Sedang rakan-rakan ham kawasan Ambangan Heights berpakat untuk ke hospital, lebih kurang jam 8.00 malam 9W2CRE memaklum beliau mendapat sms berita terbaru dari Arman 9W2NAC yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim memaklumkan bahawa 9W2KKK Khusaini telah kembali kerahmatullah. Al Fatihah kita hadiahkan kepada roh arwah Khusaini semoga rohnya ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman...Amin.
 

Monday, October 8, 2012

PENGHUBUNG BIDAN TERJUN

Jam 10.15 penulis dikejutkan dengan panggilan telefon dari nombor yang tiada dalam senarai. Sebaik dijawab saja terus keluar suara...good morning excuse me is it 9W2KMC bla bla bla....ingatkan jurujual mana dok telefon orang pagi-pagi ni rupa-rupanya seorang ahli ham radio yang sedang berlabuh di kelab kapal layar Langkawi memohon bantuan memperbaiki peralatan radio amaturnya yang rosak, tidak keluar audio katanya. Rupa-rupanya dia mendapat nombor telefon penulis dari blog ini, mungkin beliau seach ham radio Langkawi terus keluar blog ini. Penulis pun memberitahu beliau akan menghantar sms nombor telefon rakan ham di Langkawi iaitu Dr. Anuar 9W2DDA. Tak lama selepas menghantar sms, beliau memberitahu beliau sudah menghubungi Dr. Anuar dan sedang mengatur pertemuan. Tak sempat bertanyakan callsign beliau, tetapi namanya Albert. Nanti boleh bertanya balik dengan Dr. Anuar callsign rakan ham tersebut. Tak sangka jadi bidan terjun pula hari ini.

Tuesday, October 2, 2012

RAE SIRI 2/2012

Pihak SKMM sudah mengeluarkan notis peperiksaan radio amatur (RAE) bagi Siri Ke 2/2012. Bagi rakan-rakan SWAL yang ingin menduduki peperiksaan tersebut boleh melayari laman web SKMM untuk maklumat lengkap.

Tuesday, September 18, 2012

Kes orang 'HILANG' di Lata Bayu Baling

Pagi Jumaat 14/9/2012 semasa dalam perjalanan ke Beseri, Perlis untuk menjemput anak balik dari asrama, penulis memantau di frekuensi pancarulang transnasional Jerai. Kedengaran berita mengatakan kehilangan sekumpulan lima orang sesat di hutan lipur Lata Bayu, Baling. Terkejut juga bila mendengar ada seorang  yang dipatuk ular sudah meninggal dunia. Tetapi terfikir juga mengapa ada rakan radio amatur yang berani memberitahu di udara tentang kematian tersebut sedangkan berita yang diterima adalah dari sumber-sumber yang belum pasti dan tiada pengesahan dari pihak berkuasa. Sewajarnya maklumat yang hendak disampaikan di frekuansi radio amatur hendaklah maklumat yang benar dan tepat bukan memanjangkan maklumat yang kurang pasti. Apa yang pasti adalah berita kehilangan lima orang itu adalah laporan palsu menggunakan gelombang radio amatur oleh orang yang berhati busuk untuk menyusahkan orang lain. Semoga dilain kali jika ada lagi pancaran radio laporan seperti itu, perlulah ditapis terlebih dahulu agar tidak menyusahkan pasukan pencari dan menyelamat.

Wednesday, March 28, 2012

PERTEMUAN YANG TIDAK DI RANCANG

Pada 15 Mac 2012 yang lalu penulis menghadiri majlis kenduri kahwin adik kepada seorang rakan. Selesai menikmati hidangan secara 'buffet', penulis berehat di bawah pokok berhampiran sambil berbual-bual dengan beberapa rakan lain yang hadir. Seorang rakan memperkenalkan seorang tetamu yang sama-sama duduk di bawah pokok, katanya rakan itu pun ahli radio amatur juga. Setelah bersalam barulah tahu rupanya rakan itu adalah 9W2ICD Cikgu Shidi yang pernah saya QSO dengan beliau di repeater PERAMAH pada malam 31 Januari 2010 dulu. Tak sangka pertemuan di udara membawa pula pertemuan di daratan, terasa begitu kecil dunia ini. Mudahlah nanti kalau nak ke Cameron Highland, sudah ada rakan radio amatur menunggu di sana.

9W2KMC & 9W2ICD

Sunday, February 5, 2012

AL FATIHAH .. 9W2BB KEMBALI KE RAHMATULLAH

Pagi ini penulis dikejutkan dengan berita sedih, rakan ham Pulau Pinang 9W2BB atau lebih dikenali sebagai Pak Din telah kembali ke rahmatullah pada jam 6.00 pagi ini 05 Februari 2012. Penulis mendapat berita ini semasa qso di lokal Jerai dengan 9W2TNY yang mendapat berita dari 9M2PZ. Takziah kepada keluarga arwah Pak Din, semoga bersabar menghadpi dugaan ini.

Thursday, February 2, 2012

LAMA TIDAK KEMASKINI BERITA SEMASA

Pejam celik pejam celik sedar tak sedar sudah menjangkau sembilan bulan tidak kemaskini laman ini. Berbagai-bagai hal berlaku sepanjang tempoh tersebut. Dalam tempoh itu juga penulis telah berpindah ke base station baru di Sungai Lalang. Walau sudah tiga bulan di lokasi baru, namun belum berkesempatan menaikkan antenna base lagi. Sekadar memantau saja di mana-mana frekuensi ASTRA. Kedengaran pasukan biro repeater yang diketuai oleh Pak Rahim 9M2RR sedang berusaha keras menyelenggara dan membaikpulih serta set semula frekuensi pengulang. Setakat ini yang telah diusahakan ialah di Pandangan Indah, Larut dan Gunung Raya Langkawi. Frekuensi terkini pengulang Larut telah ditukar menggunakan frekuansi lama Brinchang kepada 146.625, -600 dan T 103.5 dan repeater Brinchang pula menggunakan frekuansi lama Larut 147.925. Pada 01 Februari 2012 pasukan ini telah menjalankan kerja pembaikan di repeater Gunung Raya.

Lama tidak melayari laman web Persatuan Radio Amatur Melayu Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA), rupa-rupanya telah berubah wajah baru. TAHNIAH kepada pengurusan ASTRA yang baru di atas kecekapan mengemaskini maklumat. Antara yang menarik ialah tawaran rebet dana repeater, bayaran seumur hidup sebanyak RM 100.00 sehingga 25 Februari 2012, lebih kurang 3 minggu dari sekarang. Proses bayaran adalah mudah, bayar ke akaun bank ASTRA dan email maklumat bayaran atau scan slip bank kepada admin. Semoga dengan sumbangan ini kita boleh kembali berhubung ke seluruh Malaysia seperti dulu.