Monday, March 23, 2009

LANGKAWI DAN LABUAN DALAM KENANGAN

Lebih 6 tahun dulu penulis diarahkan berhijrah dari Alor Setar untuk bertugas di Pulau Langkawi manakala adinda Ishak 9W2IMR diarahkan berhijrah dari Subang untuk bertugas di Pulau Labuan. Sungguhpun jarak kedua dua pulau tersebut mengikut Google Earth 1,709 km namun jarak yang jauh terasa didekatkan dengan kemudahan internet yang tersedia. Dengan kemudahan Skype, Yahoo Messenger dan lain lain yang percuma terasa bagai duduk bersebelahan saja. Bergayutlah di USB phone atau microfon seberapa lama yang larat siap dengan gambar webcam lagi.


Masa berlalu begitu cepat sekali, penulis di Langkawi selama 6 tahun 8 bulan terasa seperti baru saja. Sampai masa diarahkan pula berangkat pulang ke Sungai Petani di tanah besar, begitu juga adinda Ishak di Labuan yang dua bulan awal telah berangkat pulang ke Subang semula. Sempena cuti sekolah selama seminggu baru baru ini sempatlah keluarga penulis dan keluarga adinda Ishak bertemu eyeball di Sungai Petani dan di rumah ibu mertuanya di Kg. Telok Tenggiri, Padang Sera.


Mengambil peluang dan kesempatan yang ada penulis telah memohon bantuan bang Amir 9W2USF untuk memasang set radio dan kelengkapan antenna pada Toyota Unser 9W2IMR. Penulis dan adinda Ishak mengucapkan berbanyak banyak terima kasih kepada bang Amir yang pulon sungguh membuat pemasangan dan setting hingga waktu senja. Hanya Allah saja yang dapat membalas segala kebaikan bang Amir.

Sunday, March 22, 2009

TAKZIAH BUAT PAK LONG MARZUKI 9M2MZ

Jam 1.30 pagi Jumaat penulis menerima SMS dari 9W2BCD Bang Rodzi Batu Menunggul Pendang memaklumkan kepulangan ke rahmatullah anakanda lelaki Pak Long Marzuki Jeniang 9M2MZ di hospital Alor Setar lebih kurang jam 12.00 tengah malam. TAKZIAH kepada Pak Long Marzuki semoga Pak Long Marzuki banyak bersabar menghadapi dugaan tersebut.

Selepas Subuh seperti biasa hari cuti terus ke setor belakang untuk buka radio. Di lokal Jerai 146.950 kedengaran audio Cikgu Shabri 9W2OCA memanggil manggil rakan, apa lagi loncat masuk selalu. Lalu di infokan berita sedih tersebut kepada beliau. Tak lama kemudian kedengaran pula audio Cikgu Mahtar 9W2JML yang bermobil di jalan Batas Paip menghala ke Sg. Petani untuk urusan keluarga, sempat juga QSO dengan beliau beberapa over. Lebih kurang jam 9.30 penulis pun bergerak dengan Kancil menuju ke Jeniang untuk berkunjung menziarahi allahyarham anakanda Pak Long Marzuki. Setiba di Taman Jubli Perak Cikgu Mahtar telefon memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan jam 11.30 pagi dan mengajak naik kereta beliau untuk ke Jeniang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, terus simpan Kancil di tempat letak kereta pejabat JKR dan menumpang kereta Cikgu Mahtar ke Jeniang melalui jalan Tmn Ria Jaya - Ambangan Height - Bukit Selambau - Jeniang. Seperti biasa Cikgu Mahtar sambil mobile sambil QSO di repeater lokal Jerai dengan Ustaz Fauzan 9W6MAZ yang sedang portable di warung kopi tepi jalan di Ambangan Height menunggu Krie 9W2CRE. Kerana mengejar masa kami pun tidak singgah eyeball dengan Ustaz Fauzan di warong tersebut kerana perlu kembali untuk menyelesaikan lain lain urusan lagi. Tiba dilaluan Sungkap Para Estate dengan hutan kelapa sawit di kiri dan kanan, tiba tiba terasa semacam ada sesuatu menyucuk tayar dan berbunyi agak kuat, rupa rupanya sebatang bolt besar sepanjang 5 inci telah menembusi dan memancitkan tayar belakang sebelah kiri kereta. Berita tersebut disampaikan kepada Ustaz Fauzan untuk minta bantuan kerana tayar simpanan yang ada kempis, maklumlah kereta disimpan di Kuala Kedah tak berkesempatan nak cek semua. Tidak lama kemudian kelihatan rakan ham Pak Lah 9W2DOZ, Pak Alias 9W2LYS dan Zul 9W2UCC tiba memberikan bantuan. Kemudian tiba pula Ustaz Fauzan bersama Krie 9W2CRE dan seorang lagi rakan membawa tayar simpanan beliau untuk menggantikan tayar yang pancit. Nasib baiklah ada rakan ham berdekatan untuk minta bantuan, kalau tidak tak tau lah apa jadi. Selepas seketika di tanah perkuburan Masjid Jeniang, kami pun pulang untuk menukar tayar baru kerana tayar yang terkena bolt tak boleh digunakan lagi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan ham yang menghulurkan bantuan.

Wednesday, March 18, 2009

BERSALAM DI DARATAN DENGAN SAHABAT BARU

Sempena cuti sekolah ini penulis mengambil kesempatan menyelesaikan bebarapa urusan yang tertangguh di kampung halaman dan di Pulau Langkawi. Syukur Alhamdulillah semua urusan berjaya diselesaikan dengan lancar walaupun terdapat sedikit rintangan. Dalam kesempatan yang ada sepanjang 2 hari bercuti penulis bernasib baik dapat bertemu eyeball dengan beberapa orang sahabat baru yang akan menambahkan lagi bilangan sahabat sesuai dengan slogan "ERAT DI UDARA AKRAB DI DARAT" oleh rakan-rakan ham di Palembang, Indonesia. Antara sahabat baru yang penulis bersalam kontek perdana di daratan pada 16 dan 17/3/2009 ialah Kasturi 9W2KMF, Kapten Shaharil @ Pak Koyan 9W2COY dan Pak Suhaimi 9W2IKU.

Kebetulan sudah melalui bandaraya Alor Setar, penulis menghubungi Kasturi 9W2KMF di Jalan Telok Wan Jah untuk bertemu buat pertama kali di daratan. Terasa puas hati dapat bertukar tukar fikiran dengan Kasturi sambil minum petang di perkarangan kompleks Peruda. Selepas eyeball dengan Kasturi penulis meneruskan perjalanan ke Kepala Batas sambil memanggil Bang Amir 9W2USF di pengulang Keriang untuk temujanji. Tidak disangka sama sekali sambil menjamu selera di medan selera Kepala Batas, kelihatan sebuah Wira hitam berantena tinggi baru masuk ke parking. Rupa rupanya Pak Koyan 9W2COY yang kebetulan datang membeli makanan di medan selera tersebut. Walaupun pertemuan yang singkat namun amat bermakna sekali. Keesokan pagi dalam perjalanan ke Kuala Kedah untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi sekali lagi sempat bertemu eyeball dengan Pak Koyan bersama seoarang lagi sahabat baru yang bertugas setempat dengan Pak Koyan iaitu Pak Suhaimi 9W2IKU di Kepala Batas. Tetapi sayang sekali penulis tidak membawa kamera untuk merakam wajah sahabat2 baru ini untuk dimuatkan dalam album online. Semoga persahabatan ini berterusan dan berkembang lagi di masa hadapan.

Sunday, March 1, 2009

CALLSIGN BARU DI SUNGAI PETANI

28/2/2009 Jam 9.00 malam di rumah kelab ham radio Sg. Petani telah diadakan majlis jamuan kesyukuran oleh rakan-rakan radio amatur yang baru mendapat "Apparatus Assignment" dan isyarat panggilan (callsign) masing-masing di susuli dengan perbincangan mengenai aktiviti ham radio di kawasan Sg. Petani. Gembira dapat bertemu rakan-rakan baru dan lama, rakan rakan baru yang selama ini bertemu di udara sahaja. TAHNIAH kepada rakan-rakan yang baru mendapat sayap semoga semakin lama terbang semakin bertambah ramai sahabat. Biar ramai sahabat jangan ramai musuh kerana hobi bermain radio amatur bertujuan ke arah kebaikan.
Antara callsign baru di kawasan Sungai Petani ialah :-

9W2XAN - Amizan
9W2LDZ - Lan
9W2SRH - Wan
9W2UCC - Zul
9W2MBI - Lutfi
9W2ISP - Mat
9W2KNA XYL kepada 9W2IKA